GEORGE TOWN, 18 April (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan lebih 10,000 sekolah di seluruh negara dilengkapi dengan kemudahan papan pintar atau smartboard menjelang 2027 sebagai usaha memperkukuh penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem pendidikan negara.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pada masa sama KPM juga bersedia dengan pelan sokongan lain, termasuk menaik taraf pusat kegiatan guru sebagai pusat kecemerlangan untuk teknologi pendidikan.
"Kita berharap sasaran semua sekolah di seluruh negara dilengkapi smartboard (papan pintar) menjelang 2027 akan dapat dicapai, ia juga kurikulum baharu (pada 2027) jadi kita pun nak melihat bahawa penggunaan berkenaan (papan pintar) dipertingkatkan,'' katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Smartbord dan Pengisytiharan Pencapaian 100 peratus penajaan Smartboard Sekolah-Sekolah di Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Negeri Wan Sajiri Wan Hassan.
Fadhlina berkata Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mencapai 100 peratus penggunaan papan pintar di semua 396 sekolah di seluruh negeri dan ia hasil kerjasama erat pelbagai pihak, termasuk Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan, kerajaan negeri dan juga rakan sinergi antaranya Public Bank.
Beliau memaklumkan penggunaan papan pintar digital itu mampu membuatkan proses pembelajaran lebih interaktif, berkesan dan melancarkan perkembangan pendidikan dalam kalangan murid sekali gus memperkasakan murid dengan kemahiran digital yang diperlukan untuk bersaing dalam era digital masa kini.
''Kita ucapkan syabas kepada Pulau Pinang kerana telah menunjukkan komitmen luar biasa dalam menjayakan usaha itu, saya harap usaha Pulau Pinang melengkapkan sekolah dengan smartboard (papan pintar) ini, diikuti oleh negeri-negeri yang lain untuk terus meningkatkan kualiti pendidikan negara,'' katanya.
Fadhlina turut menegaskan meskipun teknologi memainkan peranan penting dalam memperkasakan sistem pendidikan, peranan guru tidak pernah tergugat malah kekal sebagai elemen terpenting dalam pembentukan sahsiah dan moral pelajar.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata pemakaian Jalur Gemilang pada pakaian seragam pelajar sekolah akan bermula secara berperingkat pada 21 April ini dan diteruskan dengan penglibatan semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).
Langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen besar KPM untuk memastikan semangat cintakan negara sentiasa dipupuk dalam diri generasi muda.
“Inilah komitmen KPM yang mesti kita sama-sama angkat dan disampaikan kepada seluruh masyarakat. Ini satu daripada inisiatif penting untuk memastikan semangat cintakan negara terus subur dari semasa ke semasa,'' katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial