AM

Kutipan Hasil Lebih RM1 Bilion Berturut-turut, Lambang Keberkesanan Tadbir Urus - Sultan Pahang

18/04/2025 04:47 PM

KUANTAN, 18 April (Bernama) -- Kejayaan Pahang merekodkan pencapaian kutipan hasil melebihi RM1 bilion untuk tiga tahun berturut-turut melambangkan kegigihan, integriti dan keberkesanan tadbir urus kerajaan negeri menguruskan khazanah negeri. 

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah pencapaian itu juga hasil usaha gigih seluruh jentera kerajaan menjunjung amanah dengan penuh tanggungjawab. 

"Beta menyeru agar kejayaan ini menjadi pendorong untuk menggandakan lagi usaha bagi 2025. Produktiviti mesti diperkasa, daya saing perlu dipertingkat dan budaya kerja cemerlang hendaklah sentiasa menjadi amalan,” titah baginda. 

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Turut berangkat Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan paduka-paduka anakanda. 

Selain itu Al-Sultan Abdullah bertitah setakat 5 Mac, kerajaan Pahang telah menerima RM31.65 juta melalui pelbagai saluran peruntukan dari Persekutuan bagi menyokong pembangunan infrastruktur dan penyelenggaraan kemudahan awam.

Baginda turut memaklumkan Pahang berjaya memuktamadkan pelaburan komited sebanyak RM7.54 bilion melalui pemeteraian pelbagai perjanjian strategik sepanjang tahun lepas.

”Impak daripada pelaburan ini amat besar, bukan sahaja menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga membuka peluang pekerjaan, memperkasakan produktiviti dan merangsang mobiliti sosial rakyat negeri ini,” titah baginda. 

Sultan Pahang percaya kedudukan geografi negeri yang strategik dan dilengkapi kemudahan Pelabuhan Kuantan serta jaringan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang bakal beroperasi pada 2027 akan menjadikan Pahang sebagai antara destinasi pelaburan paling dinamik di rantau ini.

Pada titah diraja itu, Sultan Pahang turut menzahirkan perasaan sukacita dengan kejayaan kerajaan negeri menoktahkan kemiskinan tegar di Pahang pada 29 Mei 2024, yang membawa sinar baharu kepada 1,946 ketua isi rumah. 

Al-Sultan Abdullah yang turut menzahirkan kebimbangan dengan ketiadaan kemudahan Rehat dan Rawat (R&R) mencukupi di laluan utama negeri, menyeru kerajaan Persekutuan dapat menyediakan peruntukan sewajarnya untuk pembinaan kemudahan itu di laluan strategik. 

Baginda juga berharap semua projek rancangan tebatan banjir diberikan keutamaan dan dilaksanakan segera dengan berkualiti serta mengikut jadual ditetapkan.

Selain itu Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan supaya gerakan menyeluruh dilakukan tahun ini bagi membanteras, mendidik dan memulih mereka terlibat kesalahan dadah, mengambil kira jumlah tangkapan dan nilai rampasan dadah yang meningkat pada 2024. 

Al-Sultan Abdullah turut berhasrat melihat sistem perundangan syariah di Pahang terus diperkasakan dengan kemajuan teknologi, khususnya dengan kecanggihan sistem kecerdasan buatan (AI) seperti rakaman transkrip mahkamah (CRT).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan