POLITIK

Prk Ayer Kuning: Sentimen Pemimpin Melayu Dalam DAP Tak Jejas Sokongan - Syahredzuan

18/04/2025 10:15 PM

TAPAH, 18 April (Bernama) -- Sentimen mengenai pemimpin Melayu dalam DAP tidak menjadi penghalang untuk menambat hati pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, kata Naib Pengerusi Kebangsaan DAP Syahredzan Johan.

Beliau berkata persepsi negatif yang sering dikaitkan dengan penyertaan pemimpin Melayu dalam parti itu berpunca daripada kurangnya pendedahan dan interaksi secara langsung dengan masyarakat setempat, khususnya di kawasan luar bandar.

“Ini soalan yang selalu diketengahkan kepada saya… saya fikir kebanyakan persepsi itu datang daripada situasi yang mungkin mereka tidak mengenali pemimpin-pemimpin Melayu DAP. Jadi orang kata tak kenal maka tak cinta.

“Pada masa yang sama di Perak ada Naib Pengerusi DAP Perak Dr Abdul Aziz Bari, jadi saya fikir warga Perak tidaklah asing dengan DAP,” katanya ketika ditemui pemberita di gerai Capati Perak, di sini hari ini.

Turut hadir Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Young Syefura Othman.

Syahredzan berkata DAP komited menyokong calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir dan fokus kempen ialah kesinambungan perkhidmatan yang ditinggalkan oleh penyandang terdahulu bagi memastikan pembangunan dan kebajikan penduduk Ayer Kuning terus terjamin.

Beliau berkata DAP telah diberikan tanggungjawab membantu di 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM), dengan tumpuan utama kepada usaha meningkatkan peratusan keluar mengundi.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, manakala pengundian awal pada 22 April.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan