AM

RM30 Juta Diperuntuk Bantu Golongan Autisme, Pendidikan Inklusif Melalui Inisiatif YSD

19/04/2025 06:18 PM

KUALA LUMPUR, 19 April (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM30 juta di bawah Belanjawan MADANI 2025 bagi membiayai program impak sosial Yayasan Sime Darby (YSD), dengan tumpuan khusus kepada sokongan autisme dan pendidikan inklusif.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui kerjasama antara sektor awam, badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Program Autisme YSD SALAM merangkumi dua komponen utama. Pertama ialah inisiatif latihan guru pendidikan khas peringkat kebangsaan melalui kerjasama dengan Pusat Autisme IDEAS (IAC) dan Bahagian Profesionalisme Guru Kementerian Pendidikan.

“Kedua ialah program biasiswa komuniti bagi melatih individu sebagai Juruteknik Analisis Tingkah Laku Gunaan (ABAT) dengan kerjasama Early Autism Project (EAP) Malaysia,” katanya semasa pelancaran inisiatif itu bersempena Bulan Kesedaran Autisme Sedunia.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Belanjawan Negara Kementerian Kewangan Datuk Indera Ab Rahim Ab Rahman.

Amir Hamzah berkata sebanyak 26 projek CSR sedang dilaksanakan di seluruh negara di bawah kerangka geran padanan Kementerian Kewangan-YSD yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2025.

Beliau berkata inisiatif berkenaan merangkumi pelbagai bidang tumpuan termasuk intervensi awal autisme, rawatan HIV/AIDS, penjagaan paliatif, pemerkasaan wanita, pencegahan kehamilan remaja, penglibatan seni komuniti dan sokongan kepada komuniti perumahan berpendapatan rendah.

Majlis itu turut menampilkan sesi libat urus bersama penerima geran yang aktif dalam usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Amir Hamzah turut merakamkan penghargaan kepada YSD atas kerjasama berterusan serta kepercayaan dalam melaksanakan program berimpak tinggi, telus dan berpandukan tadbir urus yang baik selaras dengan matlamat pembangunan sosial negara.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan