BATU PAHAT, 18 April (Bernama) -- Johor mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM575 juta bagi bulan Mac tahun ini, meningkat 30 peratus daripada RM400 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lepas.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata peningkatan itu membolehkan kerajaan negeri melaksanakan projek serta inisiatif untuk menyelesaikan masalah dihadapi rakyat seperti isu banjir.
“Sukacita saya umumkan pada petang ini, kerajaan negeri bersetuju meluluskan kerja-kerja membersihkan dan membuang kelodak di lembangan Sungai Senggarang sepanjang 20 kilometer berjumlah RM3 juta,” katanya pada Majlis Perasmian Program Jelajah Orang Johor (JOJ) Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja di sini hari ini.
Onn Hafiz berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk membina rumah pam berserta pam hidraulik di Parit Bengkok berjumlah RM500,000.
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai program dan bantuan bagi meringankan beban rakyat negeri ini antaranya Program Ziarah Kasih, Bantuan Asnaf Dapur Kasih, Jualan Kasih, Bantuan Bilik Guru, Bantuan Klinik Kesihatan Bergerak, Bantuan Sokongan Ekonomi Wanita, Bantuan Laptop Siswa dan Bantuan Mahasiswa Johor Yayasan Pelajaran Johor (YPJ).
“Bila hasil negeri bertambah, takkanlah dengan hasil ini kita tak salurkan balik kepada masyarakat, itu niat (salurkan balik kepada rakyat) kita,” katanya.
Beliau turut menggesa wakil rakyat, ketua jabatan dan pemimpin tempatan untuk bekerjasama dalam menangani masalah yang dihadapi rakyat.
“Jangan kerja berseorangan… Terus bergerak sebagai satu pasukan. Kalau kita bergerak sebagai satu pasukan, insya-Allah tidak ada yang boleh menghalang kita untuk mencapai kejayaan bersama,” katanya.
JOJ adalah satu platform yang diwujudkan kerajaan negeri bagi mendekati masyarakat, sekali gus menyampaikan mesej kerajaan secara terus kepada mereka, selain turut berperanan sebagai wadah untuk masyarakat menyuarakan pandangan kepada pemimpin dan agensi berkaitan.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM4 juta bagi melaksanakan program terbabit melibatkan semua 56 kawasan DUN di seluruh negeri tahun ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial