JENAYAH & MAHKAMAH

Pemandu Wanita Mengaku Tidak Bersalah Pertuduhan Cuba Bunuh Pelajar UiTM

20/04/2025 02:29 PM

KUALA TERENGGANU, 20 April (Bernama) -- Seorang pemandu wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan cuba membunuh seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, Oktober tahun lepas. 

Norizan Ismail, 50, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu didakwa melakukan perbuatan itu pada 7.35 malam 9 Okt 2024 di Jalan Pantai berhadapan universiti berkenaan, mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan .

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 10 tahun dan denda, dan jika perbuatan itu menyebabkan cedera kepada seseorang maka dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun. 

Dalam kejadian tersebut, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan yang ketika itu berusia 20 tahun cedera akibat dirempuh daripada belakang ketika menunggang motosikal bersama tiga lagi rakannya yang lain oleh tertuduh yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV). 

Insiden malang itu turut menyebabkan tiga rakannya, Muhammad Akmal Md Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20, maut di lokasi kejadian.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahir Mat Jusoh. 

Mahkamah menetapkan 20 Mei ini untuk serahan dokumen perbicaraan. 

Pada 2 Mac lepas, Norizan turut tidak mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 302 kanun sama kerana melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Muhammad Akmal, Ku Adib Aizad dan Khairil Anwar.

Kes yang mendapat perhatian seluruh negara itu kembali bersambung setelah mahkamah sebelum ini memutuskan Norizan layak dibicarakan berdasarkan laporan pemeriksaan psikiatri yang diperoleh dari Hospital Permai, Johor. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan