POLITIK

Tindakan Bekas Ketua Wanita UMNO Perak Sertai PAS Sudah Dijangka - Saarani

20/04/2025 05:16 PM

TAPAH, 20 April (Bernama) -- Tindakan bekas Ketua Wanita UMNO Perak Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin menyertai parti PAS, tidak memberikan sebarang kesan kepada UMNO, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak Datuk Seri Saarani Mohamad. 

Menteri Besar Perak itu berkata tindakan Wan Norashikin, yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah berkenaan, sudah lama dijangka.

“Kami sudah menjangkakannya sejak lama...jadi, perkara itu tidak memberi sebarang kesan. Dia hanya menyebabkan kekurangan satu undi di Parlimen Pasir Salak dan DUN Kampong Gajah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sejati MADANI: Impian Jadi Realiti Daerah Batang Padang di Kampung Kenangan di sini hari ini.

Wan Norashikin, yang ditemani suaminya iaitu Setiausaha PAS Kawasan Tapah Muhammad Noor Farid Zainal menyerahkan borang keahlian kepada Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega PRK Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Saarani menangkis dakwaan Abdul Hadi pada ceramah berkenaan bahawa UMNO kini semakin lemah dengan menyifatkannya sebagai tidak mencerminkan realiti politik semasa.

Beliau berkata UMNO masih merupakan sebahagian daripada kerajaan, sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

“Di peringkat pusat, kita ada 30 kerusi dan pemimpin UMNO turut memegang jawatan penting dalam kerajaan Persekutuan termasuk Timbalan Perdana Menteri. Di Perak pula, kita menang sembilan kerusi dan masih menjadi kerajaan, saya sendiri merupakan Menteri Besar... jadi di mana dikatakan hilang taring? Itu cuma cakap sedap mulut,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan