SUKAN

Sukan SEA 2025: MAKAF Kekal Sasar Tiga Pingat Emas

20/04/2025 05:55 PM

MELAKA 20 April (Bernama) -- Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menyasarkan tiga pingat emas pada Sukan SEA 2025 yang akan berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla, Thailand dari 9 hingga 20 Dis ini.

Presidennya, Datuk Nur Azmi Ahmad berkata sasaran realistik itu disandarkan kepada kategori lelaki dan wanita untuk acara kumite serta kata dan difahamkan pihak tuan rumah tidak menawarkan lebih pingat bagi sukan karate kali ini.

Katanya jumlah itu menyamai sasaran pada Sukan SEA 2023 di Kemboja.

"Meskipun kita hanya sasarkan tiga emas namun tidak mustahil 18 atlet yang akan kita hantar mampu meraih lebih dari itu.

"Ini kerana tidak banyak pingat yang ditawarkan dalam acara karate melainkan kata dan kumite dan kita ikut kategori yang disediakan tuan rumah. Jika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2027, mungkin banyak kategori akan dipertandingkan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco MAKAF di Jalan Hang Tuah di sini hari ini.

Beliau berkata aksi di Thailand itu juga akan menjadi platform bagi pemilihan atlet terbaik yang akan membawa cabaran negara pada Sukan Asia di Jepun tahun depan termasuk 13 kejohanan lain sepanjang tahun ini.

Mengulas lanjut, Nur Azmi yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata pemilihan 18 atlet karate ke temasya serantau itu akan dimuktamadkan berdasarkan 13 kejohanan dalam dan luar negara yang akan diharungi nanti.

"Ini termasuklah Kejohanan Karate Siri Dunia yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 3 hingga 5 Okt dengan penyertaan sebanyak 126 buah negara.

"Ia penting untuk semua atlet mengambil bahagian dan mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Kejohanan Karate Dunia (WKF) November ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan