DUNIA

Tentera Udara Korea Selatan Gantung Operasi Sebahagian Besar Pesawat

20/04/2025 05:49 PM

SEOUL, 20 April (Bernama-Yonhap) -- Tentera Udara Korea Selatan telah menggantung operasi hampir semua pesawatnya selepas sebuah pesawat ringan KA-1 secara tidak sengaja menggugurkan dua pod senjata dan tangki bahan api kosong minggu lepas, lapor Agensi Berita Yonhap yang memetik kenyataan seorang pegawai.

Pada Jumaat, pesawat itu yang menyertai latihan malam di ruang udara Pyeongchang, kira-kira 125 kilometer ke timur Seoul, menggugurkan komponen berkenaan di kawasan pergunungan. Tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta dilaporkan.

Susulan kejadian itu, Tentera Udara telah mengenakan sekatan penerbangan ke atas semua pesawatnya, kecuali bagi misi peninjauan dan kesiapsiagaan kecemasan, sehingga pagi Selasa, menurut pegawai berkenaan.

Langkah itu dijangka menjejaskan latihan udara berskala besar Freedom Flag antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang bermula Khamis lepas.

Latihan yang berlangsung sehingga 2 Mei itu melibatkan kira-kira 1,100 anggota dan 90 pesawat dari kedua-dua negara, termasuk jet pejuang F-35A, F-15K dan KF-16 milik Korea Selatan serta F-16, F-35B dan dron MQ-1 dan MQ-9 milik Amerika Syarikat.

Latihan dijadualkan disambung semula pada Selasa petang.

Sebagai langkah susulan, Ketua Turus Tentera Udara Jeneral Lee Young-su akan mengadakan mesyuarat bersama para komander pada Isnin dan menggesa kawalan serta pemeriksaan yang lebih ketat bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang.

Setakat ini, Tentera Udara masih belum menemui semula tangki bahan api dan sejumlah peluru hidup kaliber 12.7 milimeter yang turut tergugur pada hari kejadian.

Insiden ini berlaku kira-kira sebulan selepas dua jet pejuang KF-16 secara tidak sengaja menggugurkan lapan bom MK-82 di luar kawasan latihan di Pocheon, kira-kira 40 kilometer utara Seoul, semasa latihan tembakan hidup pada 6 Mac lepas, yang mencederakan 52 orang termasuk 38 orang awam.

Kementerian Pertahanan dan Tentera Udara menyifatkan kesilapan juruterbang sebagai punca utama kejadian dalam siasatan awal.

Tentera Udara telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi menentukan punca sebenar insiden terbaharu ini.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan