AM

Festival Tari Malaysia 2025 Tingkat Kualiti Karya Koreografer, Penari

21/04/2025 01:21 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Penganjuran Festival Tari Malaysia 2025 oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) memberi peluang kepada koreografer dan penari mempelajari dan mempamerkan persembahan seni tari berkualiti dan bermutu tinggi.

Ketua Pengarah JKKN Mohd Amran Mohd Haris berkata program yang diadakan selama dua hari di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC), di sini hingga semalam itu juga dapat meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab untuk memelihara dan memperkembang warisan budaya bangsa.

“JKKN terus komited dalam memelihara warisan budaya bangsa dalam pelbagai cabang seni, terutamanya seni tari. Selain itu, ia dapat mendidik masyarakat masa kini untuk lebih menghargai dan mencintai seni budaya negara melalui penganjuran festival sebegini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata Festival Tari Malaysia 2025 merupakan kesinambungan daripada Festival Tari Malaysia Peringkat Zon dengan lapan kumpulan terbaik mewakili negeri dan zon telah berjaya ke Festival Tari Malaysia 2025 peringkat Kebangsaan.

Festival Tari Malaysia 2025 mempertandingkan dua kategori tarian, iaitu Tarian Rampaian Tradisional dan Tarian Kreatif Malaysia.

Mohd Amran berkata johan membawa pulang wang tunai sebanyak RM15,000, naib johan pula sebanyak RM10,000 dan tempat ketiga RM8,000 manakala Koreografer Terbaik dan Busana Terbaik bagi kedua-dua kategori membawa pulang wang RM1,000, piala, berserta sijil.

Sementara itu, acara sisipan turut diadakan, iaitu pertandingan tarian kanak-kanak pada 19 April dan Dance Battle "Ekspresikan Diri" pada 20 April, bertujuan merangsang kehangatan acara utama – Festival Tari Malaysia 2025.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan