AM

JBPM Siasat Dua Anggota Buat Komen Jelik Di Media Sosial

21/04/2025 06:10 PM

KOTA BHARU, 21 April (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang menjalankan siasatan terhadap dua lagi anggotanya yang dipercayai membuat hantaran komen jelik menyasarkan individu tertentu menerusi media sosial masing-masing, baru-baru ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohamad berkata siasatan itu dimulakan susulan beberapa aduan diterima berhubung kenyataan yang dibuat oleh anggota terlibat.

Menurut beliau, komen jelik tersebut bukan sahaja menyentuh isu sensitif seperti agama, kaum, institusi diraja (3R) dan politik, malah turut melanggar arahan tetap jabatan berkaitan tatakelakuan di media sosial.

“Komen tersebut lebih bersifat peribadi serta menyentuh tingkah laku individu. Satu pasukan penyiasat akan ditubuhkan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya pada Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata media sosial kini menjadi alat komunikasi yang berpengaruh dengan platform seperti Facebook, TikTok, Instagram dan YouTube mampu membentuk naratif, mempengaruhi pandangan awam serta membina imej sesebuah organisasi.

“Jika digunakan secara bijak dan beretika, media sosial boleh menjadi senjata ampuh untuk mempromosi serta memperkukuh imej jabatan.

“Namun, pengurusan persepsi di media sosial amat penting. Kita perlu meneliti dan mengurus perkara ini dengan cermat agar tidak disalahgunakan, terutama apabila kritikan dibuat secara melulu, beremosi atau menyentuh isu sensitif sehingga menjejaskan kredibiliti jabatan,” katanya.

Beliau turut merujuk insiden melibatkan seorang pegawai JBPM Kelantan, baru-baru ini, yang membuat hantaran komen jelik berbaur politik tidak wajar di media sosial.

“Secara jujur, insiden itu telah mencetuskan persepsi negatif masyarakat terhadap akauntabiliti pegawai terlibat dan menjejaskan kredibiliti jabatan sebagai agensi yang menjunjung nilai integriti serta profesionalisme.”

Beliau berkata penjawat awam juga perlu kekal berkecuali dalam menyatakan pandangan serta mengelak daripada membuat kritikan tidak berasas atau menyebarkan maklumat palsu memandangkan JBPM tertakluk kepada peraturan dan arahan sedia ada.

Terdahulu, media melaporkan seramai 18 anggota jabatan telah diberi surat amaran manakala seorang anggota bomba bantuan digantung tugas selama tiga bulan atas kesalahan melanggar peraturan media sosial.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan