Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini seiring prestasi hambar semalaman Wall Street ketika pertikaman lidah antara Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Jerome Powell mencetuskan kebimbangan pelabur di tengah-tengah perang dagangan yang meruncing.
Pada 9.30 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 12.44 mata kepada 1,487.03 daripada 1,499.47.
Indeks utama itu dibuka susut 7.03 mata kepada 1,492.44.
Sentimen pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 351 berbanding 86 manakala 283 kaunter lain tidak berubah, 1,705 tidak diniagakan dan 30 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 536.74 juta saham bernilai RM190.98 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Trump sedang berusaha menyingkirkan Powell yang akan mengubah persepsi Fed sebagai sebuah entiti bebas.
“Ketegangan antara Trump dan Powell semakin panas dengan pemimpin AS itu berhasrat menyingkirkan Powell, walaupun sukar baginya untuk berbuat demikian,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, Thong berkata hasil nota Perbendaharaan 10 tahun AS menokok kepada 4.417 peratus dan pasaran Hong Kong akan kembali beroperasi hari ini selepas cuti selama dua hari.
Di peringkat tempatan, beliau menjangkakan aktiviti jualan asing berkemungkinan telah mereda susulan memberi impak pada penutupan urus niaga FBM KLCI semalam, berdasarkan jumlah dagangan harian yang berkurangan kepada 1.53 bilion saham -- mungkin terendah setakat ini.
“Walaupun ini mungkin baik untuk indeks, jumlah dagangan harian rendah yang berterusan hanya menjejaskan pacuan dagangan pasaran.
“Sehubungan itu, bursa tempatan memerlukan pemangkin belian dengan institusi tempatan diharap menerajui usaha pengumpulan saham pada tahap munasabah semasa ini," katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank masing-masing susut 5.0 sen kepada RM9.93 dan RM4.35, Tenaga Nasional turun 10 sen kepada RM13.38, CIMB merosot 13 sen kepada RM6.73 dan IHH Healthcare jatuh 3.0 sen kepada RM6.86.
Bagi saham aktif, Magma naik setengah sen kepada 37.5 sen, Aumas Resources meraih 2.5 sen kepada 80.5 sen manakala Ingenieur Gudang, Jiankun International dan Peterlabs tidak berubah masing-masing pada 4.0 sen, 3.0 sen dan 29.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 78.64 mata kepada 11,016.75, Indeks FBMT 100 susut 80.55 mata kepada 10,805.16, Indeks FBM Emas Shariah merosot 59.81 mata kepada 10,825.26, Indeks FBM 70 menguncup 75.66 mata kepada 15,432.58 dan Indeks FBM ACE berkurangan 16.32 mata kepada 4,549.88.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 157.67 mata kepada 17,851.48, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.95 mata kepada 143.08, Indeks Tenaga turun 4.06 mata kepada 655.95 dan Indeks Perladangan kehilangan 10.12 mata kepada 7,201.01.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial