AM

Kawalan Keselamatan PDRM, Agensi Berkaitan Semasa Lawatan Presiden China Cemerlang

22/04/2025 12:33 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan atas kecemerlangan dalam aspek kawalan keselamatan semasa lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Presiden Xi juga berterima kasih kerana negara memberikan kawalan keselamatan luar biasa sepanjang keberadaannya di negara ini.

“Alhamdulillah, pada akhir lawatan (Presiden Xi) malam itu, saya baca WhatsApp Perdana Menteri kepada kumpulan Kabinet. 

“Apa yang dibisikkan oleh Presiden Xi sebelum dia naik kapal terbang dan Perdana Menteri menghantarnya, dia cakap terima kasih kerana kawalan keselamatan yang luar biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata PDRM dan agensi berkaitan melaksanakan tugas kawalan keselamatan terhadap tetamu negara dengan amat baik dan cemerlang.

“Memang kawalan yang luar biasa… Kawalan dengan ditutup di jalan (serta) dengan helikopter, penginapannya kita ada tiga lapisan (keselamatan),” katanya.

Presiden Xi memulakan lawatan negara ke Malaysia dari 15 hingga 17 April lepas atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Lawatan ini adalah kunjungan rasmi kedua beliau ke Malaysia dalam tempoh 12 tahun, selepas lawatan pertamanya pada 2013 yang menyaksikan kedua-dua negara menaik taraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada siri kunjungan Presiden China ke tiga negara Asia Tenggara, yang telah membawanya ke Vietnam sebelum ini. Ini adalah siri lawatan negara pertama beliau pada tahun ini.

Malaysia dan China menjalinkan hubungan diplomatik pada 31 Mei 1974 dan memperingati ulang tahun ke-50 pencapaian itu pada tahun lepas.

Sejak 2009, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 16 tahun berturut-turut.

Pada 2024, jumlah dagangan antara kedua-dua negara bernilai RM484.12 bilion, merangkumi 16.8 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan global Malaysia sebanyak RM2.88 trilion.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan