POLITIK

Saifuddin Nasution Belum Putuskan Bertanding Jawatan Timbalan Presiden PKR

22/04/2025 01:04 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau belum membuat keputusan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu pada bulan depan.

Menteri Dalam Negeri yang juga bekas Setiausaha Agung PKR itu berkata pemilihan PKR ialah satu proses demokrasi yang diizinkan dalam perlembagaan parti dan bagi beliau fokusnya untuk memperkuat lagi parti itu. 

Saifuddin Nasution dan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli dalam satu pertemuan tertutup semalam telah menyatakan komitmen bagi memperkukuhkan lagi parti dalam pelbagai aspek.

“Saya mengikuti juga beberapa pandangan orang yang mula sebut tentang idea bahawa sampai masanya saya membuat pengumuman (bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR) dan sebagainya.

“Saya masih lagi belum membuat apa-apa ketetapan ke arah itu. Siapa pun yang mengikuti rekod prestasi saya dalam parti tahu bahawa orang tidak boleh persoalkan kesetiaan saya kepada parti,” katanya kepada media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Semalam, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) Azmi Hassan berkata perkembangan pemilihan di 222 cabang PKR, memberi isyarat bahawa Saifuddin Nasution perlu mengambil peluang sekali lagi untuk berdepan Rafizi.

Pada pemilihan PKR bagi penggal 2022-2025 lepas menyaksikan Saifuddin Nasution tewas kepada Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu, untuk jawatan nombor dua parti.

Saifuddin Nasution berkata sebagai orang lama dalam parti, beliau dan Rafizi telah mengulangi ikrar mereka untuk bersama-sama sebagai pimpinan dalam PKR.

Beliau turut menyeru akar umbi dan pimpinan tertinggi untuk menggunakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR esok, sebagai platform terhadap permasalahan dalam parti. 

“Mesyuarat khas MPP esok, saya percaya itu platform yang akan digunakan untuk mereka menyampaikan pandangan mereka,” katanya.

Mengenai nama besar yang tewas dalam pemilihan PKR kali ini, Saifuddin Nasution berkata mereka yang tewas perlu terus berkhidmat dan menunjukkan taat setia kepada parti.

“Kalah bukan maksud terpinggir dan tersingkir sebaliknya kamu terus berkhidmat, kamu terus setia dengan parti pimpinan yang tetap memberikan tempat kepada kamu jadi nama-nama besar,” katanya.

Antara pemimpin yang tewas dalam pemilihan PKR ialah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan