AM

Keterhubungan Rel Penting Pastikan Rantaian Bekalan Terjamin - Loke

22/04/2025 02:44 PM

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Keterhubungan rel Malaysia-Thailand ke benua Asia, termasuk ke China penting dari segi keselamatan dan sekuriti rantaian bekalan, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pentingnya pembangunan infrastruktur rel daripada perspektif serantau, bukan hanya domestik, bertujuan menghubungkan negara anggota ASEAN melalui jaringan kereta api yang lebih strategik.

"Apabila kita dapat hubungkan melalui rel antara negara ini, yang pertamanya ia kesalinghubungan serantau dan juga amat penting dari segi keselamatan rantaian bekalan sebab dunia hari ini mengalami pelbagai ketidaktentuan dan gangguan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan majlis Raikan Kasih MADANI 2025 di sini hari ini.

Loke berkata Malaysia yang terletak di tengah-tengah laluan strategik Selat Melaka dan Laut China Selatan, memiliki kelebihan untuk menjadi penghubung antara negara-negara barat dan timur.

Justeru, beliau berkata rantau ini harus memanfaatkan sepenuhnya landasan kereta api sedia ada untuk meningkatkan kesalinghubungan.

"Kita berharap di peringkat ASEAN ini ada konsensus supaya kita boleh meningkatkan kesalinghubungan ini. Apabila dapat tingkatkan kesalinghubungan sudah tentu negara-negara lain juga akan berminat, terutama negara dikelilingi daratan," katanya.

Untuk merealisasikan Rangkaian Kereta Api Pan-Asia, Loke berkata Malaysia komited mencapai satu dasar dengan Thailand yang lebih menyokong pembangunan sektor rel.

Beliau akan bertemu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pengangkutan Thailand, Suriya Juangroongruangkit pada 2 Mei ini untuk menyelesaikan beberapa isu, antaranya perkhidmatan kargo kereta api Malaysia dapat merentasi sempadan dan menjadi satu mod utama pada masa hadapan.

Loke berkata sebagai contoh, antara halangan sedia ada ialah sekatan tertentu dalam pergerakan barangan melalui kereta api antara Malaysia dan Thailand, terdapat kategori barangan yang tidak dibenarkan  diangkut merentasi sempadan.

"Perkara seperti itu mesti diselesaikan supaya kita dapat mengurangkan halangan perdagangan antara ASEAN dapat dipertingkatkan," katanya.

Beliau berkata Malaysia selaku tuan rumah kepada sidang kemuncak ASEAN bulan depan, agenda utama adalah mengemudi rantau ini dalam menghadapi cabaran semasa.

“Cabaran yang paling penting pada ketika ini ialah kenaikan tarif oleh Amerika Syarikat menjadikan ekonomi global semakin meruncing.

“Apa yang penting untuk ASEAN adalah memastikan ketersediaan ataupun tahap kompetitif kekal berada di kedudukan yang tinggi serta memastikan perdagangan dalam kalangan ASEAN dapat dipertingkat supaya kita dapat mengurangkan kebergantungan perdagangan kepada satu pasaran sahaja," katanya.

Justeru, beliau berkata MOT memainkan peranan utama dalam memastikan perdagangan antara ASEAN dapat dipertingkat menerusi pelaksanaan instrumen dasar agar kerenah demokrasi dan sekatan dalam kalangan ASEAN dapat dikurangkan.

Loke berkata kerjasama antara Malaysia dan Thailand terjalin menerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan State Railway of Thailand (SRT) namun yang penting ialah kerjasama antara kerajaan (G2G).

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan