EKONOMI

MAVCOM Laporkan 99 Peratus Aduan Pada Separuh Kedua 2024 Telah Diselesaikan

22/04/2025 03:12 PM

KUALA LUMPUR, April 22 (Bernama) -- Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) melaporkan sebanyak 99 peratus daripada semua aduan yang diterima pada separuh kedua 2024 (2H 2024) telah berjaya diselesaikan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 37 peratus daripada aduan berkenaan menyaksikan syarikat penerbangan mengubah keputusan awal mereka demi kepentingan pengguna.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAVCOM memaklumkan Laporan Pengguna Dwi-Tahunan ke-17 bagi 2H 2024 menunjukkan sejumlah 2,613 aduan diterima, peningkatan sebanyak 34 peratus berbanding 1,948 aduan yang direkodkan dalam tempoh yang sama pada 2H 2023.

MAVCOM berkata daripada jumlah keseluruhan aduan, 2,581 aduan (99 peratus) melibatkan syarikat penerbangan, manakala baki 32 aduan (satu peratus) berkaitan dengan perkhidmatan lapangan terbang.

Malaysia Airlines mencatat jumlah aduan tertinggi dengan 921 aduan, diikuti oleh AirAsia (611 aduan) dan Batik Air (437 aduan).

MAVCOM berkata dari segi penyelesaian aduan oleh syarikat penerbangan domestik, AirAsia, AirAsia X, Batik Air, Firefly, Malaysia Airlines dan MASwings berjaya mencapai sasaran penyelesaian 90 peratus aduan dalam tempoh 30 hari.

"Sebaliknya, syarikat penerbangan asing hanya mencatat kadar penyelesaian sebanyak 54 peratus, sekali gus mencerminkan keperluan penambahbaikan dalam aspek pengendalian aduan dan kepuasan pengguna," katanya.

Pengerusi Eksekutif MAVCOM Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata adalah penting untuk industri bukan sahaja memenuhi permintaan yang semakin meningkat, tetapi juga menjaga hak pengguna seiring dengan pemulihan sektor penerbangan.

"Kami menggesa semua pihak dalam industri penerbangan untuk terus mengutamakan keperluan pengguna, khususnya dalam menangani aduan pengguna secara berkesan.

"Dapatan tinjauan kami menunjukkan trend positif dalam kesedaran hak pengguna serta peningkatan usaha penyelesaian oleh syarikat penerbangan Malaysia," katanya.

Saripuddin berkata usaha kolektif yang berterusan oleh seluruh industri penerbangan adalah penting bagi terus mempertingkatkan tahap pengetahuan dan perlindungan pengguna.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan