KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Pemimpin dunia dari seluruh pelusuk dunia menyatakan kesedihan mendalam dan mengutus ucapan takziah susulan pemergian Paus Francis, yang dikenang sebagai tokoh keamanan, belas ihsan dan keadilan sosial.
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi penghormatan kepada mendiang pontif itu sebagai “duta harapan, rendah hati dan kemanusiaan”, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
“Paus Francis adalah suara yang melangkaui batas untuk keamanan, maruah manusia dan keadilan sosial,” katanya, sambil menyifatkan Paus sebagai “seorang lelaki beriman untuk semua agama. Dunia kita yang berpecah belah ini akan menjadi tempat yang jauh lebih baik jika kita mengikuti teladan perpaduan dan persefahaman yang dibawanya dalam tindakan kita.”
Bercakap kepada wartawan di New York, Guterres berkata PBB amat terinspirasi dengan contoh kepimpinan Paus Francis.
Di Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga Perdana Menteri, menghantar kabel takziah rasmi kepada Vatican, menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA).
Presiden Rusia Vladimir Putin, yang dipetik Agensi Berita TASS, menyifatkan kematian Paus ketika musim Easter sebagai tanda kehidupan yang bermakna, merujuk kepada kepercayaan dalam tradisi Ortodoks.
“Terdapat kepercayaan bahawa jika Tuhan memanggil seseorang pada hari-hari suci Easter, itu adalah tanda istimewa bahawa hidupnya tidak sia-sia.
“Paus telah melakukan banyak kebaikan bukan sahaja untuk umatnya tetapi juga untuk dunia secara keseluruhan,” katanya.
Korea Selatan turut berkabung atas pemergian Paus yang pernah menunjukkan minat mendalam terhadap keamanan di Semenanjung Korea.
Menurut Agensi Berita Yonhap, Paus Francis dihormati bukan sahaja oleh penganut Katolik, tetapi juga oleh golongan bukan beragama di negara itu.
Korea Selatan merupakan negara Asia pertama yang dikunjungi Paus selepas pemilihannya pada 2013, dan di bawah kepimpinannya, Seoul telah dipilih menjadi tuan rumah Hari Belia Sedunia 2027.
Sementara itu, pelbagai pemimpin dunia turut meluahkan penghormatan melalui platform X media antarabangsa.
Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi, dalam mesej yang dipetik CNN dan CNBC, menyifatkan Paus Francis sebagai “suara keamanan, kasih sayang dan belas ihsan” dan memuji pendiriannya yang konsisten menyokong perjuangan rakyat Palestin.
“Kematiannya merupakan kehilangan besar kepada seluruh dunia...satu contoh yang patut diteladani dalam pengabdian kepada nilai-nilai mulia,” katanya.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy, yang dipetik TIME, berkata: “Jutaan orang di seluruh dunia meratapi berita sedih pemergian Paus Francis. Hidupnya didedikasikan kepada Tuhan, kepada manusia, dan kepada Gereja. Beliau sentiasa berdoa untuk keamanan di Ukraine dan untuk rakyat Ukraine.”
Raja Charles III turut mengeluarkan kenyataan peribadi, memaklumkan baginda dan Permaisuri Camilla “amat sedih” mendengar berita itu.
Dalam mesej yang dikongsi TIME, baginda menyifatkan Paus sebagai seorang pemimpin yang dikenang kerana belas ihsan dan komitmen terhadap perpaduan, dan menambah bahawa baginda “amat tersentuh” dengan sumbangan Paus terhadap manusia dan alam sekitar.
Paus Francis, rakyat Amerika Latin pertama yang memimpin Gereja Roman Katolik, pernah berkhidmat sebagai Uskup Agung Buenos Aires sebelum dipilih sebagai Paus pada 2013.
Seorang peminat bola sepak tegar, beliau penyokong kuat kelab San Lorenzo, sebuah kelab bersejarah di kampung halamannya.
Beliau dimasukkan ke hospital di Rom pada Februari lalu akibat bronkitis yang kemudian menjadi pneumonia dua belah paru-paru. Selepas 38 hari dirawat, beliau dibenarkan keluar dan meneruskan pemulihan di Vatican.
Vatican mengumumkan pemergiannya pada awal Isnin, dengan menyatakan strok dan serangan jantung sebagai punca kematian.
-- BERNAMA
TAG: Paus Francis, ucapan takziah, kepausan, Holy See, Vatican City
NSL MAS KLS
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial