KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Harga minyak sawit dijangka kekal pada RM3,900 setan dalam beberapa minggu akan datang, disokong oleh pemulihan harga minyak kacang soya yang meningkatkan daya saing harga minyak sawit, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
Ia berkata penurunan berterusan dalam pengeluaran minyak sawit di Sabah masih membimbangkan dan berkemungkinan mengehadkan sebarang pemulihan yang ketara dalam pengeluaran bagi tempoh beberapa bulan akan datang.
"Walaupun adanya faktor-faktor sokongan ini, kenaikan kukuh dalam harga minyak sayuran tidak mungkin berlaku kerana konflik perdagangan yang semakin meningkat dan harga minyak mentah yang lemah membayangkan risiko yang lebih tinggi dan ketidaktentuan harga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MPOC berkata stok minyak sawit Malaysia meningkat kepada 1.56 juta tan pada Mac 2025 selepas mengalami penurunan selama enam bulan berturut-turut.
Peningkatan itu didorong oleh kenaikan dalam pengeluaran minyak sawit sebanyak 16.8 peratus bulan ke bulan berikutan kelewatan penuaian pada Februari yang disebabkan oleh hujan lebat dan banjir.
Walaupun berlaku pemulihan pada Mac, pengeluaran kumulatif untuk suku pertama 2025 kekal terendah dalam tempoh tiga tahun dan penurunan dalam pengeluaran tahun ke tahun mungkin berterusan sehingga September.
"Sehubungan itu, jumlah pengeluaran minyak sawit pada 2025 mungkin jatuh sekitar 19 juta tan -- di bawah 19.3 juta tan yang dicatatkan pada 2024," katanya.
Minyak sawit baru-baru ini memperoleh semula daya saing harganya berbanding minyak campuran, dengan diniagakan pada premium di pasaran global sejak Ogos 2024.
Pada harga RM3,900 setan, minyak sawit kini dianggap berada pada harga yang berpatutan.
Dalam pada itu, China bakal meningkatkan import minyak sawitnya pada Mei dan Jun untuk menambah semula inventori yang kebetulannya bertepatan dengan permulaan musim panas, yang menyaksikan penggunaan minyak sawit yang lebih tinggi di negara itu, katanya.
Begitu juga dengan India yang dijangka memanfaatkan harga minyak sawit yang rendah ketika ini untuk menambah semula inventori yang berkurangan, memandangkan jurang harga antara minyak sawit dan minyak kacang soya semakin mengecil dalam pasaran domestik.
Sementara itu, MPOC berkata harga minyak kacang soya di bursa Lembaga Perdagangan Chicago (CBoT) berlegar-legar di atas 42 sen setiap pound (bersamaan dengan US$920 setan), walaupun terdapat sentimen menurun di pasaran Amerika Syarikat (AS).
Susulan pemansuhan kredit cukai baru-baru ini bagi minyak canola dan minyak masak terpakai yang diimport daripada rantaian bekalan biodiesel AS, kekurangan bahan mentah dijangka dipenuhi dengan peningkatan dalam permintaan terhadap lemak haiwan dan minyak kacang soya.
Ini menunjukkan bahawa harga minyak kacang soya global mungkin telah mencapai paras terendah dan bersedia untuk pemulihan yang kukuh apabila dasar biobahan api AS menjadi lebih jelas dalam beberapa bulan akan datang, katanya.
Sementara itu, walaupun stok minyak sawit di Malaysia dijangka terus meningkat mulai April dan seterusnya, peningkatan itu akan menyederhana, dihadkan oleh pertumbuhan dalam pengeluaran tahun ke tahun yang lemah, terutamanya di Sabah.
Pengeluaran minyak sawit di Sabah merosot sebanyak 10 peratus kepada paras terendah dalam tempoh lima tahun dari Januari hingga Mac 2025.
"Penurunan dalam pengeluaran ini akan mengehadkan pengumpulan inventori dan membantu menyokong harga minyak sawit," tambah MPOC.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial