DUNIA

Hampir Setengah Juta Pelarian Syria Di Luar Negara Kembali Ke Tanah Air

22/04/2025 10:53 PM

DAMSYIK, 22 April (Bernama-Prensa Latina) -- Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) melaporkan,  kira-kira 438,000 pelarian Syria kembali ke tanah air mereka dari negara-negara jiran, lapor agensi berita rasmi Cuba, Prensa Latina.

Kenyataan terbaharu UNHCR menyatakan, angka itu berdasarkan data yang dikumpulkan oleh pihak berkuasa Syria, Turkiye, Lubnan, Jordan, Iraq dan Mesir antara 8 Disember 2024 hingga 17 April.

UNHCR turut merekodkan kepulangan hampir sejuta pelarian di dalam negara ke kediaman masing-masing, termasuk 188,000 orang dari kem pelarian.

Menurut laporan itu, sebanyak 33,000 keluarga secara sukarela pulang ke Syria dari Turkiye setakat 13 April.

Suruhanjaya itu turut mendokumentasikan pemindahan lebih 33,000 orang dari wilayah Tartous, Latakia, Homs dan Hama ke utara Lubnan pada awal Mac akibat konflik bersenjata.

Satu tinjauan terbaharu oleh UNHCR menunjukkan,  80 peratus daripada sampel rawak melibatkan 4,500 pelarian Syria di Jordan, Turkiye, Lubnan, Iraq dan Mesir menyatakan hasrat untuk pulang ke tanah air dalam masa terdekat.

Menurut laporan itu,  kira-kira 5.5 juta pelarian Syria di luar negara menyatakan keinginan untuk kembali ke Syria.

Sepanjang 13 tahun lepas, Syria menyaksikan pergerakan pelarian terbesar di dunia, dengan kira-kira enam juta pelarian berada di negara jiran seperti Turkiye, Lubnan dan Jordan, selain di Eropah, manakala tujuh juta lagi menjadi pelarian dalam negara.

Sebahagian besar daripada mereka ingin pulang ke tanah air tetapi masih menunggu keadaan dalam negara bertambah baik bagi merealisasikan hasrat mereka.

-- BERNAMA-PRENSA LATINA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan