KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) -- Bank Pembangunan Asia (ADB) komited menyediakan US$24.3 bilion (US$1 = RM4.39) daripada sumbernya sendiri tahun lepas selain US$14.9 bilion dari segi pembiayaan bersama dengan rakan kongsinya dalam menangani pelbagai cabaran pembangunan yang kompleks di Asia Pasifik.
Dalam kenyataan hari ini, katanya angka berkenaan merangkumi pinjaman, geran, pelaburan ekuiti, jaminan dan bantuan teknikal yang diberikan kepada kerajaan dan sektor swasta.
Menurut Laporan Tahunan ADB 2024 yang diterbitkan hari ini, bank itu mewujudkan sejuta pekerjaan pada 2024 dengan komited memperuntukkan US$4.8 bilion melalui projek dan program sektor swastanya, dengan kenaikan 28.5 peratus daripada 2023.
ADB turut menekankan bahawa kerjasamanya dengan kerajaan, institusi kewangan dan pelabur telah menyokong persekitaran perniagaan yang kondusif, mengukuhkan pasaran modal dan merangsang perdagangan.
“Dengan peningkatan keupayaan kewangan dan fokus strategik yang lebih jelas, ADB menjadikan komitmen ini kepada hasil yang dapat dilihat,” kata Presiden ADB Masato Kanda.
Beliau berkata bank ini membiayai sistem tenaga dan pengangkutan yang lebih mampu milik dan cekap, menyokong sektor swasta yang aktif untuk mewujudkan pekerjaan berkualiti serta mengukuhkan perkhidmatan asas dalam bidang pendidikan, kesihatan dan perlindungan sosial.
Laporan itu juga menekankan revolusi ADB ke arah bank pembangunan yang lebih besar dan berkesan.
“Pencapaian penting ini termasuk pembaharuan dalam pengurusan modal yang akan membolehkan ADB mengembangkan operasi sebanyak 50 peratus pada dekad akan datang dan mengemas kini strategi korporat institusi berkenaan.
“Selain itu, menambah semula Dana Pembangunan Asia (ADF) sebanyak US$5 bilion, sumber pembiayaan geran terbesar ADB bagi operasi di negara-negara anggotanya yang sedang membangun (DMC) termiskin dan rentan,” katanya.
Selain itu, ADB telah menyalurkan pelbagai sokongan dari segi kewangan dan ilmu pada sepanjang tahun untuk meningkatkan sistem pengeluaran makanan, mengurangkan kesan buruk cuaca ekstrem serta menambah baik kemerosotan alam sekitar dan kepupusan biodiversiti.
Bank ini juga membantu DMC melaksanakan pembaharuan penting untuk menambah baik pengurusan kewangan awam, menangani risiko fiskal dan menggalakkan pembangunan sosial serta ekonomi melalui mobilisasi sumber domestik dan penyediaan belanjawan yang lebih baik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial