EKONOMI

Eksport Sarung Tangan Getah Terhad Kepada Produk Tempatan Berkuat Kuasa Serta-merta

25/04/2025 01:45 PM

PUTRAJAYA, 25 April (Bernama) -- Syarikat pengeksport sarung tangan getah yang berlesen dengan Lembaga Getah Malaysia (LGM) hanya dibenarkan mengeksport sarung tangan getah yang diperoleh daripada sumber kilang pembuatan tempatan, berkuat kuasa serta-merta.

Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam kenyataan hari ini, langkah itu bagi menjamin kualiti produk dan kemampanan industri sarung tangan getah negara, selain mencegah risiko Malaysia menjadi destinasi pengalihan perdagangan dari negara lain.

“Ini juga susulan perkembangan global yang memperlihat ketidaktentuan dalam landskap perdagangan antarabangsa termasuk perubahan dasar pasaran utama dunia yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan pasaran eksport produk getah.

“Keadaan ini berpotensi menyebabkan peningkatan import sarung tangan getah yang boleh menjejaskan daya saing industri getah domestik,” katanya.

Katanya Malaysia antara pengeluar dan pengeksport utama getah dan produk berasaskan getah, dengan nilai eksport mencecah RM33.7 bilion pada 2024.

Sektor sarung tangan getah sahaja menyumbang sebanyak RM15.41 bilion atau 45.8 peratus daripada jumlah tersebut, katanya.

Sehubungan itu, katanya LGM telah melaksanakan beberapa inisiatif strategik bagi memperkukuh kawal selia industri dalam menghadapi isu dan cabaran semasa perdagangan global termasuk memperketat syarat pelesenan eksport sarung tangan getah di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014.

Selain kawal selia pelesenan, katanya LGM turut giat menjalankan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan lain bagi memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan dalam sektor sarung tangan getah demi menjaga imej dan daya saing industri getah negara.

“Kementerian dan LGM akan terus memantau secara dekat perkembangan semasa perdagangan dunia dan sentiasa bersiap siaga untuk melaksanakan langkah-langkah proaktif dalam melindungi kepentingan keseluruhan industri getah negara termasuk semua produk getah,” katanya.

Bagi jangka masa panjang, katanya kementerian juga sedang meneliti pendekatan bersesuaian dengan perubahan landskap geopolitik dan ekonomi global bagi memastikan daya tahan dan kebolehpasaran industri getah Malaysia terus dipertahankan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan