AM

JaPen Perlis Rangka 180 Aktiviti Sempena Kempen Internet Selamat

25/04/2025 06:54 PM

KANGAR, 25 April (Bernama) -- Jabatan Penerangan (JaPen) Perlis merangka 180 aktiviti sempena Kempen Internet Selamat (KIS) tahun ini bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat berkaitan kepentingan penggunaan Internet secara berhemah.

Pengarah Penerangan Perlis Mazli Hamdan berkata kempen itu dijalankan melalui program Jalinan Insan Wahana Aspirasi (JIWA) yang digerakkan bersama 45 Komuniti MADANI di seluruh negeri.

“Setakat ini, 50 aktiviti telah dilaksanakan sejak akhir Februari lepas menerusi JIWA @ Komuniti MADANI yang memfokuskan kepada usaha mendekati rakyat dan menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan Internet secara langsung,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui pelaksanaan program NADI (Pusat Sebaran Maklumat Nasional) X Komuniti MADANI melibatkan 14 NADI yang dikenal pasti.

“Melalui program ini, masyarakat didedahkan dengan penggunaan Internet yang selamat dan teknologi terkini, termasuk kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Beliau berkata kempen berkenaan turut diperluas ke sekolah melalui kolaborasi bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dan Kelab Malaysiaku menerusi Pentarama X Kelab Malaysiaku membabitkan empat sekolah menengah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis, SMK Kuala Perlis, SMK Syed Alwi dan SMK Putra.

“Selain itu, KIS akan digerakkan ke 14 sekolah menengah seluruh negeri dengan penglibatan MCMC menerusi penganjuran ceramah dan edaran maklumat mengenai teknik penipuan siber (scammer) serta langkah keselamatan dalam talian akan dikongsi bersama pelajar dan warga sekolah,” katanya.

Mazli berkata program di semua sekolah terlibat itu dijadual bermula akhir bulan ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan