AM

ECM Utama Malaysia 2025 Catat Jualan Luar Biasa RM158 Juta

25/04/2025 10:56 PM

PETALING JAYA, 25 April (Bernama) -- Anugerah Peniaga e-Dagang (ECM) Utama Malaysia edisi ke-10 merekodkan jualan yang amat berangsangkan bernilai RM158 juta, sekali gus melonjakkan nilai dagangan kasar terkumpul program itu kepada lebih RM500 juta sejak dilancarkan pada 2016.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata edisi tahun ini menarik 1,060 permohonan daripada peniaga dalam pelbagai sektor termasuk fesyen, kecantikan, makanan dan minuman, kediaman, peralatan dan produk bayi.

“Daripada jumlah ini, 511 peniaga telah tersenarai dan menyertai bimbingan seperti sesi latihan lanjutan dalam analisis data, pengoptimuman strim langsung dan latihan pencipta.

“Ini juga melibatkan lawatan tapak dengan Dattel Asia dan Business Synergy, mendapat pendedahan langsung kepada teknologi runcit dan tinjauan pengguna,” katanya pada majlis Anugerah ECM Utama Malaysia 2025 dan sambutan Aidilfitri Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (SIDEC) di sini, hari ini.

Beliau berkata “Livestream Battle” yang baru diperkenalkan, dengan kerjasama TikTok Shop, mengetengahkan 46 sesi strim langsung oleh 40 peniaga selama 132 jam  dan lima hari, adalah bukti luar biasa dagangan masa sebenar dan kreativiti usahawan tempatan.

Sebanyak 24 peniaga menerima pengiktirafan dalam pelbagai kategori termasuk kategori khas TikTok, Anugerah Bintang Baharu SIDEC, Anugerah Wanita Peneraju serta pemenang kategori khas Selangor, berkongsi hadiah keseluruhan bernilai RM250,000.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han dan Ketua Pegawai Eksekutif SIDEC, Yong Kai Ping.

Amirudin mengesahkan komitmen Selangor untuk membina ekonomi digital yang inklusif melalui inisiatif seperti Program Pemecut Selangor (SAP), Selangor 1000 Digital, dan usaha berterusan bagi memperkukuh ekosistem semikonduktor dan inovasi Malaysia.

“Matlamat kita adalah jelas, untuk memastikan setiap perniagaan tanpa mengira saiz mempunyai akses kepada instrumen, sokongan dan peluang yang diperlukan untuk berkembang maju dalam dunia digital yang dinamik hari ini,” katanya.

Beliau memuji para finalis sebagai pemacu utama masa depan e-dagang Malaysia dan menyeru persepaduan dalam membina ekosistem digital yang dinamik, inklusif dan sedia masa hadapan.

Anugerah itu bertujuan mengiktiraf peniaga e-dagang tempatan yang paling berjaya, kreatif dan inovatif, menawarkan kebolehlihatan dan peluang yang lebih besar kepada mereka untuk mengukuhkan kehadiran jenama masing-masing merentas industri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan