AM

PRK Ayer Kuning: Keterbatasan Tidak Halang OKU Orang Asli Tunaikan Hak Mengundi

26/04/2025 12:56 PM

TAPAH, 26 April (Bernama) -- Meskipun dilahirkan dengan kekurangan fizikal yang memerlukan bantuan ahli keluarga untuk bergerak, semangat seorang wanita Orang Asli tidak luntur untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, hari ini.

Dalinah Long, 47 tahun, yang mengalami kecacatan pada kedua-dua tangan dan kakinya, tiba di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sungai Kroh sekitar 7.30 pagi. Beliau ditemani anak saudara perempuannya, Trifena Vhiew Teck Seng, 26 tahun.

"Saya gembira dapat mengundi kerana ini adalah hak saya sebagai seorang pengundi. Ini juga merupakan cara kami, masyarakat Orang Asli, menunjukkan bahawa kami semakin sedar betapa pentingnya proses pengundian untuk masa depan kami," katanya ketika ditemui Bernama.

Turut hadir menunaikan kewajipan ialah seorang lagi pengundi berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), S. Puspanathan, 43 tahun. Beliau tiba di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Ayer Kuning dengan menggunakan kerusi roda setelah kehilangan kedua-dua belah kakinya akibat jangkitan kuman pada tahun lepas.

Puspanathan, yang ditemani isterinya M. Vikkeneswari, 40 tahun, menerima bantuan daripada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi melancarkan proses pengundiannya.

"Walaupun kini saya berstatus OKU, saya tetap hadir untuk mengundi. Ini merupakan kali kelima saya melaksanakan tanggungjawab ini," katanya dengan penuh semangat.

Sementara itu, pasangan warga emas, Chai Ko Chong, 85 tahun, dan isterinya, Loy Mooi Ying, 82 tahun, pulang ke Ayer Kuning dari ibu negara dengan menaiki bas semata-mata untuk memilih wakil rakyat baharu di DUN tersebut.

"Walaupun kami kini menetap di Kuala Lumpur bersama anak-anak, tanggungjawab untuk mengundi tetap perlu dilaksanakan. Tidak ada alasan bagi saya untuk tidak pulang mengundi," tegas Chai.

Sebanyak 19 pusat mengundi dengan 63 saluran dibuka serentak pada 8 pagi tadi bagi PRK DUN Ayer Kuning.

Proses pengundian hari ini melibatkan 31,281 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan