AM

Sejati MADANI: Projek Ikan Keli Buka Peluang Ekonomi Baharu Di Tapah Road

26/04/2025 04:05 PM

TAPAH, 25 April (Bernama) -- Usaha komuniti di Kampung Pekan Kecil/Kampung Mak Teh, Tapah Road membina 10 kolah simen untuk projek ternakan ikan keli telah membuka peluang ekonomi baharu kepada penduduk setempat.  

Projek yang bermula November lepas menggunakan peruntukan RM100,000 di bawah Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) dijangka menjana pendapatan hingga lima angka selepas tuaian pertama bulan depan. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung Shaiful Haikal Ahmad Sapian, 37, berkata sebanyak 50,000 benih ikan keli telah dimasukkan ke dalam kolam secara berperingkat sejak Januari lepas.

“Ikan keli dipilih kerana spesies itu mudah dijaga, tahan lasak dan mempunyai permintaan pasaran yang konsisten sama ada di bandar mahupun luar bandar," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tapak projek tersebut di Air Kuning baru-baru ini.

Air Kuning merupakan antara pekan kecil yang terletak dalam daerah Batang Padang dan berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dan Parlimen Tapah.

Pekan kecil itu kini menjadi antara lokasi tumpuan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning pada 26 April susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas.

Shaiful Haikal berkata bagi projek sulung itu, setiap kolam menggunakan air bersih dari Sungai Batang Padang dan makanan palet organik bagi memastikan kualiti ikan lebih segar dan tidak berbau lumpur. 

Projek itu dijalankan secara gotong-royong oleh ahli jawatankuasa bersama penduduk kampung yang turut dilatih dalam penjagaan kolam dan penyelenggaraan kawasan. 

“Apabila hasil pertama dituai nanti, kami merancang untuk mengagihkan keuntungan ke dalam tabung JPKK untuk menyokong aktiviti kebajikan dan penyediaan kemudahan awam kampung. Kami mahu semua merasai manfaatnya,” kata Shaiful Haikal yang juga bapa kepada dua anak. 

Projek itu yang turut mendapat bimbingan Jabatan Perikanan Perak telah menarik minat beberapa pemborong untuk menjadi pembeli tetap dan pihak JPKK sedang merancang untuk menambah kapasiti kolam bagi memenuhi permintaan yang dijangka meningkat. 

Menurut beliau, selain menjana pendapatan, projek itu juga menjadi platform latihan keusahawanan bagi belia dan suri rumah di kampung berkenaan.

“Misi kita bukan sekadar hasilkan ikan, tetapi juga melatih lebih ramai penduduk kampung supaya berani memulakan projek kecil yang boleh memberi pulangan tetap. Jika berjaya, kami bercadang memohon fasa kedua projek bagi ternakan anak benih pula,” katanya.

Ditanya mengenai hala tuju projek itu, Shaiful Haikal berkata pihaknya merancang untuk menambah bilangan kolam sedia ada serta memperluas ternakan kepada ikan air tawar lain termasuk ikan puyu.

Beliau turut menggalakkan JPKK kampung lain untuk turut serta dalam program sedemikian agar dapat meningkatkan ekonomi kampung.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan