AM

JPA Salur RM1.2 Juta Laksana Kampung Angkat MADANI Di Kampung Seri Menanti

26/04/2025 04:26 PM

KUALA PILAH, 26 April (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menyalurkan kira-kira RM1.2 juta bagi pelaksanaan Kampung Angkat MADANI di Kampung Seri Menanti di sini dalam usaha meningkatkan infrastruktur dan pembangunan sahsiah penduduk setempat.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata JPA turut memilih Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Za’ba sebagai Sekolah Angkat MADANI dengan memperuntukkan RM100,000 bagi memperkukuh usaha kerajaan memastikan akses pendidikan berkualiti dinikmati secara menyeluruh.  

Beliau berkata Kampung Seri Menanti adalah permata bersejarah di Negeri Sembilan yang sinonim dengan Adat Perpatih dan warisan Minangkabau, lambang kebanggaan identiti negeri ini.

“Kita lihat banyak ruang yang boleh dibantu di kampung ini… kerjasama erat antara pihak kerajaan negeri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta pelbagai kementerian untuk melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memanfaatkan penduduk kampung ini.

"Contoh paling mudah, kita pasang lampu jalan menggunakan tenaga solar dengan kerjasama KKDW. Usaha ini membantu penduduk dapat menggunakan jalan raya dalam keadaan terang ketika waktu malam," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI JPA di kampung berkenaan sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (PUSPANITA) Cawangan Kecil Jabatan Perkhidmatan Awam (PCK JPA) Puan Sri Dr Azlifah Bahari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Program hari ini turut diserikan dengan Majlis Sambutan Raya MADANI bersama penduduk Kampung Seri Menanti.

Wan Ahmad Dahlan berkata terdapat lapan projek fizikal akan dilaksanakan di kampung angkat itu bagi meningkatkan kesejahteraan dan kemajuan penduduk setempat.

Ia melibatkan kerja menaik taraf dan membaik pulih balai raya, menaik taraf perpustakaan desa, pemasangan lampu solar di kawasan strategik, pembinaan kios pengumpulan produk tempatan, membaik pulih surau, menaik taraf gelanggang futsal dan sepak takraw, pemasangan pagar kubur di wakaf kubur Kampung Juar serta pembinaan mercu tanda Kampung Seri Menanti.

Bagi peruntukan sekolah pula, SMK Za'ba sebagai Sekolah Sukan di Negeri Sembilan berperanan membentuk generasi muda berketerampilan, justeru JPA akan membantu menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif bagi menyokong kecemerlangan guru dan pelajar.

Wan Ahmad Dahlan berkata Kampung Seri Menanti ialah kampung angkat kedua JPA selepas kejayaan Program Kampung Angkat MADANI JPA di Kampung Pulau Aman, Pulau Pinang.

Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan turut meluangkan masa menyantuni serta menyampaikan sumbangan kepada pesara uzur, termasuk seorang balu pesara polis, Rokiah Suboh, 88, yang menerima pencen terbitan suaminya, Ahmad Sarji, yang meninggal dunia pada Mac 2006.

Rokiah ketika ditemui melahirkan rasa syukur atas keprihatinan JPA yang masih mengambil berat terhadap kebajikannya. 

Ibu tunggal kepada tujuh anak itu berkata wang pencen yang diterima setiap bulan banyak membantunya menampung perbelanjaan harian, termasuk pembelian ubat-ubatan dan keperluan asas lain.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan