AM

Pekerja Asing Maut Ditimpa Cerucuk Konkrit Tapak Pembinaan Di Rawang

26/04/2025 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Seorang pekerja warga asing maut selepas ditimpa batang cerucuk konkrit yang terlucut daripada pencangkut ketika menjalankan kerja dekat sebuah tapak pembinaan di Rawang, Selangor pada 24 April lepas.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian berlaku pada 8.40 pagi, ketika mangsa yang bertugas sebagai pengendali jentera cerucuk itu sedang menjalankan kerja-kerja menegakkan batang cerucuk menggunakan jentera khas dengan bantuan seorang rakan sekerja dan diselia seorang penyelia projek.

“Ketika proses menarik dan menegakkan cerucuk, satu cerucuk yang diangkat terlucut daripada pencangkut dan jatuh mengenai kabin jentera, menyebabkan mangsa panik dan melompat keluar. Malangnya, mangsa ditimpa cerucuk yang jatuh dan mengalami kecederaan parah,” menurut kenyataan itu.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia selepas dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Berikutan kejadian, JKKP Selangor mengeluarkan Surat Arahan Larangan Kacau Ganggu di lokasi sehingga siasatan selesai dan Notis Larangan bagi menghentikan aktiviti pemasangan cerucuk.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca-punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab ke atas kemalangan itu,” menurut kenyataan itu.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 terhadap majikan sekiranya didapati bersalah.

Tindakan perundangan juga boleh dikenakan terhadap majikan sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap perundangan keselamatan dan kesihatan pekerja.

JKKP menegaskan bahawa kejadian seperti itu boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko secara komprehensif mengikut garis panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan