AM

MCMC Anjur Kempen Tingkat Kesedaran Penggunaan Internet, Media Sosial Oleh Kanak-kanak

26/04/2025 06:20 PM

BUKIT MERTAJAM, 26 April (Bernama) -- Penggunaan Internet dan aplikasi media sosial oleh kanak-kanak tanpa kawalan boleh mengundang kesan negatif terutama melibatkan isu keselamatan, jenayah dan masalah sosial.

Dalam hal ini, masyarakat khususnya ibu bapa perlu diberi pendedahan dan pendidikan awal mengenai penggunaan Internet secara berhemah supaya anak-anak tidak menjadi mangsa penipuan dan judi dalam talian, buli siber serta jenayah pedofilia.

Justeru bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turun padang mengadakan Kempen Internet Selamat bersempena Karnival Kita MADANI peringkat Negeri Pulau Pinang di Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Tengah di sini hari ini.

Menerusi sesi ‘pocket talk’ yang disampaikan wakil MCMC, pengunjung diberi penerangan mengenai had umur penggunaan aplikasi media sosial kanak-kanak di bawah 13 tahun dengan pengawasan ibu bapa atau penjaga.

Selain itu, MCMC turut berkongsi mengenai kesan dan akibat penggunaan aplikasi media sosial secara berlebihan dalam kalangan kanak-kanak seterusnya memberikan panduan atau pengetahuan untuk menggunakan Internet secara selamat dan beretika.

Seorang ibu, Nor Ashikin Mohd Rosli, 31, berkata sesi penerangan oleh suruhanjaya itu amat bermanfaat dan membuka mata ibu bapa supaya lebih cakna dalam mengawal penggunaan Internet terutama aplikasi media sosial anak-anak mereka.

“Saya memang pantau dan kawal penggunaan gajet dan Internet anak sulung saya yang berusia enam tahun. Kalau nak guna Internet saya kena ada sekali, tak biarkan dia sendiri. Saya benarkan dia pegang telefon sekurang-kurangnya sejam sebelum tidur, itu pun bagi dia tengok cerita yang dah siap dimuat naik.

“Sedangkan kita yang dewasa ini pun kalau guna Internet atau buka aplikasi media sosial boleh ganggu emosi apatah lagi dia kanak-kanak, jadi memang saya elakkan. Membesarkan anak kini lebih mencabar kerana dahulu penggunaan Internet masih belum berleluasa,” kata suri rumah itu kepada Bernama.

Turut senada, Shamshu Salina Mohd Ali, 44, yang bersetuju penggunaan Internet dalam kalangan kanak-kanak perlu dihadkan dengan memanfaatkannya bagi tujuan pendidikan sahaja.

“Anak saya tiada gajet dan dia akses Internet menggunakan komputer. Itu pun untuk main permainan ‘ ‘Roblox’. Ia bukan sekadar permainan tapi banyak bantu dalam perkembangan pelajaran anak saya terutama dari segi penguasaan bahasa Inggeris, matematik dan sains tapi saya hadkan tiga jam sehari,” katanya.

Sementara itu, Postal Forum yang merupakan sebuah badan kawal selia kendiri yang dilantik MCMC turut mengadakan sesi perkongsian ‘Cakna Hak Anda (Pos dan Kurier)’.

Ketua Postal Forum Nur Hafizah Hanifah berkata fungsi utama Postal Forum atau Forum Pos antaranya mewakili hak dan kepentingan pengguna perkhidmatan pos dan kurier termasuk pengendalian aduan, di samping memberi maklum balas dan membuat pengesyoran kepada MCMC tentang kepentingan pengguna perkhidmatan pos dan kurier.

“Kami bukan penyelesai aduan tetapi orang tengah antara pengguna dan syarikat kurier berlesen di bawah MCMC. Kita turut membangunkan kod amalan untuk tujuan pelarasan industri dan Kod Amalan Perkhidmatan Pos ini telah diluluskan MCMC pada 30 Dis 2024.

“Ia diwujudkan sebagai satu garis panduan dan rujukan kepada syarikat-syarikat mengenai amalan terbaik digunakan untuk kepentingan pengguna,” katanya.

Nur Hafizah berkata pihaknya sedang menggiatkan aktiviti advokasi dan meningkatkan kesedaran umum terhadap perkara berkaitan kepentingan dan hak pengguna termasuk penipuan paket atau ‘parcel scam’ yang menggunakan nama syarikat perkhidmatan kurier bagi memperdaya pengguna.

Lebih 40 pempamer terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian pada Karnival Kita MADANI yang dianjurkan Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang, selain diisi dengan pelbagai aktiviti menyeronokkan bertujuan merapatkan hubungan dengan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan