SUKAN

Atlet Mendayung Putrajaya Dominasi Kayak Mini Marathon Di Labuan

26/04/2025 10:13 PM

LABUAN, 26 April (Bernama) -- Atlet mendayung dari Persatuan Kanu Putrajaya mengungguli kategori perseorangan lelaki, beregu lelaki dan beregu campuran pada Kayak Mini Marathon (7km) Cabaran Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2025 hari ini.

Dalam acara perseorangan lelaki, Muhammad Azri Iskandar Muhammad Azrul dan Ahmad Shafiq Aiman Ahmad Suhaimi yang mewakili Persatuan Kanu Putrajaya masing-masing menduduki tempat pertama dan ketiga, manakala Burhanuddin Halim dari Pasukan Sabah di tempat kedua.

Gelaran juara beregu lelaki dimenangi Ahmad Azfaruddin Luqman dan Khairul Naim Zainal, juga dari Persatuan Kanu Putrajaya, manakala gandingan adik-beradik Shahdan Sukarno dan Nadzmar Sukarno dari Persatuan Kayak Labuan menduduki tempat kedua, serta Nik Afiq Mazli dan Muhamad Adib Kamaruzrizan dari Putrajaya di tempat ketiga.

Bagi kategori beregu campuran, pasangan adik-beradik Mohd Harizul Iman Mas Irhan dan Mas Durratul Iman Mas Irhan dari Persatuan Kanu Putrajaya merangkul tempat pertama, manakala Amru Rayyan dan Dayang Syafiah Umaiyah dari Pasukan Sabah serta Nedzfar Sukarno dan Myrza Fasha Hamyruddin dari Persatuan Kayak Labuan masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

Dalam acara beregu wanita pula, pendayung dari Persatuan Kayak Labuan mendominasi saingan apabila memperoleh tempat pertama dan kedua. Gelaran juara milik Jiana Tosawi dan Eliana Zaryna Tosa, manakala Lee Shu Na dan Fatra Tosawi (kedua), serta pasangan adik-beradik Aimi Ayuna Azwan dan Aisyah Farhanah Azwan dari Persatuan Kanu Pahang (ketiga).

Seramai 86 peserta dari Sabah, Sarawak, Labuan, Putrajaya dan Brunei mengambil bahagian dalam cabaran itu, bersaing dalam lima kategori iaitu perseorangan lelaki, perseorangan wanita, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran.

Bekas Senator Datuk Bashir Alias menyempurnakan majlis pelepasan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, dan menjadi acara kemuncak Cabaran Laut Antarabangsa Labuan, yang mempromosikan kecemerlangan sukan dan persahabatan di seluruh rantau ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan