AM

Raja Permaisuri Agong Berangkat Ke Majlis Santapan Bersama Pelajar UTM

26/04/2025 09:30 PM

JOHOR BAHRU, 26 April (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berangkat ke Majlis Santapan Petang bersama pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini hari ini.

Menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, 500 pelajar UTM hadir menikmati juadah yang dikurniakan dan diraikan oleh Seri Paduka Baginda yang juga merupakan Canselor universiti berkenaan.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM Muhammad Hazim Azatul Amery dalam ucapannya menjunjung kasih atas keberangkatan Raja Zarith Sofiah.

“Kami berasa amat bertuah dan berbangga kerana mempunyai seorang Canselor yang memiliki kredibiliti yang menjadi suri teladan dan menyuntik semangat luar biasa dalam diri kami untuk terus mengejar kecemerlangan.

“Tuanku bukan sahaja seorang figura Diraja, tetapi juga seorang intelektual. Amanat, penulisan serta syarahan Tuanku sering memberi arah dan harapan, bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada seluruh masyarakat,” katanya dalam ucapan dalam hantaran Facebook itu.

Sementara itu, Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim turut memberi penghormatan kepada iltizam serta semangat Raja Permaisuri Agong sebagai sumber inspirasi kepada pelajar universiti berkenaan.

Mohd Shafry berkata pelajar UTM amat didambakan oleh pihak industri dan ia terbukti melalui pencapaian Kadar Kebolehpasaran Graduan sebanyak 100 peratus selama dua tahun berturut-turut pada 2023 dan 2024, selain turut digalakkan untuk menjadi pencipta pekerjaan.

“Seluruh warga UTM khususnya para pelajar menjunjung titah dan iltizam Tuanku Canselor untuk terus mendukung agenda pembangunan insan dan kemajuan negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan