SUKAN

Ekor Harimau Selatan, Tok Gajah Banjiri Stadium Nasional Bukit Jalil

26/04/2025 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Bahang pertembungan antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC bagi aksi final Piala Malaysia 2024/2025 mula dirasai, dengan lautan “biru merah” dan “biru kuning” mula membanjiri pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) di sini sejak 4 petang tadi.

Cuaca di pekarangan stadium keramat bola sepak kebangsaan itu sedikit mendung, susulan hujan renyai turun awal petang tadi, namun sama sekali tidak melunturkan semangat para penyokong yang hadir menjelang sepak mula perlawanan dijadual pada 9 malam.

Suasana sekitar meriah dengan pelbagai aktiviti menarik perhatian penyokong kedua-dua pasukan, yang turut dihangatkan lagi dengan Konsert Solo Pertama Amy Search diadakan di Axiata Arena bersebelahan SNBJ pada hari sama.

Keyakinan terhadap keupayaan pasukan kebanggaannya mendorong seorang penyokong setia Sri Pahang Syamsuri Saari, untuk datang dari Jerantut ke SNBJ bersama tiga anaknya iaitu Mohd Shaufiqul Islam, 13, Mohd Uwais Al Qarni, 12, Ariq Arrayyan, 11.

“Kita hadir sebab sudah berbelas tahun tak ke final, jadi walaupun kita tahu kita mungkin kalah tapi harapan untuk menang masih ada, sebab dalam bola sepak kalah itu sudah pasti, menang saja belum tahu lagi, baik JDT dan Sri Pahang.

“Saya merupakan peminat Pahang sejak dulu dan sering ke stadium tak kira apa perlawanan sekali pun, sejak empat tahun lepas saya mula bawa anak-anak ke stadium bersama dan tradisi ini diteruskan,” kata kakitangan kerajaan berusia 47 tahun itu.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan Johor Volunteers membawa lebih daripada 2,000 penyokong JDT dan menyerikan suasana dengan sorakan serta membawa sepanduk.

Penyelarasnya Tun Naim Satiman berkata sejurus tarikh perlawanan akhir diumumkan, mereka telah merancang mengumpulkan satu kumpulan untuk menaikkan semangat anak-anak negeri Johor dalam perlawanan akhir itu.

“Apabila kelab berjaya menempah tempat ke perlawanan akhir dan tarikh disahkan, kami segera merancang supaya dapat hadir untuk memberi sokongan kepada pasukan, serta menjadi satu lagi kekuatan bersama Boys of Straits (penyokong setia JDT),” katanya.

Dianggarkan lebih 50,000 penonton akan memenuhi stadium malam ini.

JDT mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa besar bola sepak tanah air apabila berjaya mara ke pentas final Piala Malaysia edisi ke-98 itu dengan misi mempertahankan kejuaraan.

Harimau Selatan muncul juara pada edisi 2017, 2019, 2022 dan 2023.

Sementara Pahang kembali beraksi di final Piala Malaysia selepas 11 tahun, satu pentas yang meninggalkan memori indah buat mereka yang pernah mengecewakan JDT pada 2014.

Pahang ketika itu melakar satu cerita yang cukup hebat, kisah kebangkitan menewaskan JDT menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 selepas terikat 2-2 dalam aksi sebenar meskipun beraksi dengan 10 pemain.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan