Daripada Kisho Kumari Sucedaram
BEIJING, 27 April (Bernama) -- Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) perlu teguh dalam mendukung prinsip multilateralisme dan menangani cabaran seperti dasar perlindungan perdagangan dan langkah-langkah meliputi tarif balas yang diumumkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Presiden Institut Pembaharuan dan Pembangunan China (CIRD) Chi Fulin berkata ini lebih penting berbanding sebelum ini untuk ekonomi serantau mendukung prinsip multilateralisme melalui RCEP.
“RCEP merupakan kawasan perdagangan bebas yang amat dinamik. Sebagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia, RCEP menyumbang satu pertiga daripada jumlah keluaran ekonomi, nilai perdagangan, populasi dan pelaburan asing dunia,” katanya dalam artikel yang diterbitkan dalam China Daily di sini baru-baru ini.
Menurut Chi, negara anggota mencatatkan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunan sebanyak 4.5 peratus, 1.7 mata peratusan lebih tinggi daripada purata global dari 2010 hingga 2023.
Beliau berkata sebagai pemacu utama serantau, jumlah nisbah perdagangan kepada KDNK negara-negara ASEAN meningkat daripada 84 peratus kepada 93 peratus dari 2016 hingga 2023.
“Ini menunjukkan mengekalkan aturan perdagangan bebas yang stabil menjadi faktor penentu kepada pertumbuhan ekonomi ASEAN dan RCEP,” katanya.
RCEP ialah FTA yang melibatkan 10 negara ASEAN iaitu Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Kemboja, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand dan Vietnam, dengan lima rakan ASEAN lain termasuk Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand, yang ditandatangani pada November 2020.
RCEP mula berkuat kuasa untuk Malaysia pada 18 Mac 2022.
Chi berkata RCEP dijangka menyumbang tambahan 4.47 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK ASEAN menjelang 2035.
Selain itu, katanya memacu kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan Shanghai Cooperation Organisation juga penting.
“Oleh itu, ekonomi serantau perlu bersama-sama membina RCEP kepada tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Chi berkata China, Jepun dan Korea menyumbang lebih 80 peratus daripada jumlah keluaran ekonomi RCEP dan perlu meningkatkan kerjasama tiga hala, terutamanya dalam sektor perkhidmatan yang boleh menjana US$1.4 trilion (US$1 = RM4.38 dalam peluang pasaran baharu).
Beliau berpendapat mempercepat peralihan daripada konsesi tarif khusus kepada konsesi tarif disatukan dan beralih daripada 'kumulasi separa' kepada 'kumulasi penuh' dalam peraturan tempasal akan memudah cara rantaian bekalan serantau yang bersepadu.
Chi turut menggesa penyelarasan yang lebih baik dalam mengukuhkan rangka kerja institusi RCEP, termasuk mewujudkan sekretariat tetap dan jawatankuasa penyelesaian pertikaian yang khusus.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial