KOTA BHARU, 27 April (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) mempertimbangkan usaha untuk memperkenalkan jenama sendiri bagi beras keluaran Kelantan, kata Pengerusinya Khalid Abdul Samad.
Beliau berkata bagaimanapun, langkah itu memerlukan perbincangan dengan pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memandangkan KADA ketika ini tidak mempunyai kilang pemprosesan sendiri di negeri itu.
“Soal penjenamaan untuk kita katakan ini beras daripada Kelantan ataupun daripada KADA memang boleh dipertimbangkan tetapi kita perlu rujuk kepada kementerian (KPKM).
“Kebanyakan hasil padi dihantar ke kilang di luar untuk diproses. Bagi mencapai matlamat penjenamaan ini, kita perlu ada kilang di sini yang boleh melakukan pembungkusan dan penjenamaan, supaya dapat menonjolkan hasil bumi Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas majlis libat urus dan ramah mesra bersama warga KPKM Negeri Kelantan di sini hari ini.
Mengulas mengenai isu kemarau, Khalid berkata musim ini tidak seburuk seperti yang dijangkakan malah terdapat kawasan yang mencatatkan hasil padi memberangsangkan.
“Alhamdulillah, kemarau tahun ini tidak seperti tahun lepas. Dalam bulan yang sepatutnya kemarau, kita masih menerima hujan dan ada juga kawasan yang banjir. Ini menyebabkan kita tidak menghadapi masalah bekalan air,” katanya.
Khalid berkata hasil padi juga menunjukkan peningkatan ketara, termasuk di Pasir Mas yang mencatatkan hasil hingga 7.2 tan per hektar, berbanding unjuran konvensional sekitar 4 tan sehektar.
“Kita menggunakan teknologi seperti dron dan amalan pertanian moden untuk meningkatkan hasil. Kebanyakan kawasan di bawah seliaan KADA kini sedang menuai dan hasilnya jauh lebih baik daripada tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata sasaran awal KADA bagi pengeluaran padi ialah 215,000 tan untuk musim ini namun angka sebenar dijangka melebihi jangkaan berdasarkan prestasi semasa di lapangan.
“Kebanyakan petani yang kita temui juga meluahkan rasa syukur kerana selepas dua musim tanpa hasil, kali ini bukan sahaja ada hasil malah ada yang melebihi jangkaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial