POLITIK

PN Harus Terima Hakikat, Tidak Cipta Alasan Atas Kekalahan PRK Ayer Kuning

27/04/2025 06:01 PM

MANJUNG, 27 April (Bernama) -- Perikatan Nasional (PN) seharusnya menerima hakikat dan mencipta alasan tidak relevan berikutan keputusan tidak memihak kepada mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kenyataan bahawa PN berjaya menyekat hasrat Barisan Nasional (BN) memperoleh 18,000 undi adalah alasan untuk menutup prestasi buruk parti pembangkang itu.

“Pimpinan PN sepatutnya melakukan proses pasca nilai bagi meneliti apakah punca sebenar kekalahan di kerusi yang ditandingi PAS pada PRK itu. 

“Ia sama sekali berbeza dengan BN dan Kerajaan Perpaduan yang menerima dengan hati terbuka dan bersikap profesional biarpun pernah mengalami kekalahan dalam PRK sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penutup Program Universiti Teknologi Malaysia (UTM) TechnoXplorer 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Ahmad Boestamam di sini hari ini.

Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PAS Perak Mohd Fakhrudin Abd Aziz semalam yang berkata PN berjaya menyekat hasrat BN untuk memperoleh 18,000 undi seperti disasarkan pada PRK berkenaan. 

Sementara itu, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula berkata kestabilan negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan menjadi pertimbangan utama rakyat dalam menentukan sokongan kepada sesebuah parti, sekali gus membawa kepada kemenangan BN.

“Kerajaan Perpaduan bagi saya masih baharu dan masih ramai yang bersikap ‘mencurigakan’. Tugas kita adalah untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa walau apa pun perbezaan politik, yang paling penting adalah negara stabil.

“Apa gunanya mempunyai kerajaan yang kerap bertukar perdana menteri dua, tiga kali? Bukan sahaja rakyat, malah pelabur luar juga akan melihat negara ini seolah-olah tiada kestabilan. Jadi, bagaimana kita hendak meyakinkan mereka untuk melabur dalam jangka masa panjang?” katanya.

Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Apresiasi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) di Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Semalam, calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi setelah meraih 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada PN (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia Bawani KS (1,106 undi).

Keputusan itu mengekalkan DUN Ayer Kuning sebagai kubu kuat BN yang dikuasai parti berkenaan sejak 1986.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, pada 22 Feb lepas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan