AM

Presiden Maldives Diberi Sambutan Rasmi Di Perdana Putra

28/04/2025 10:34 AM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu yang sedang dalam lawatan rasmi empat hari ke Malaysia, diberikan sambutan rasmi di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini.

Muizzu yang tiba di sini semalam, disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaik tiba pada 9 pagi, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Beliau kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeo, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Lawatan kali pertama Muizzu ke Malaysia sejak dilantik sebagai presiden pada November 2023 itu adalah atas jemputan perdana menteri.

Muizzu kemudian menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan dengan Anwar.

Kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan kemajuan hubungan dua hala Malaysia-Maldives dan meneroka peluang kerjasama lebih lanjut khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri halal, pendidikan, pelancongan serta belia dan sukan.

Muizzu dan Anwar juga dijadualkan menyaksikan majlis pertukaran tiga Memorandum Persefahaman (MoU) melibatkan kerjasama dalam bidang pelancongan, sukan dan kesihatan.

Turut diadakan ialah pertukaran dua dokumen Pertukaran Nota (EoN) berkaitan latihan diplomatik dan penubuhan konsultasi dua hala antara Malaysia dan Maldives.

Esok, Muizzu dijadualkan menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Kepimpinan Islam dan Pembangunan MADANI daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penganugerahan berkenaan akan disempurnakan oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, selaku Ketua Perlembagaan UIAM.

Muizzu juga akan menyampaikan syarahan bertajuk The Intellectual Renaissance: Unveiling the Scientific and Modern Developments of Islamic Civilisation.

Pada 2024, jumlah dagangan Malaysia dan Maldives mencatatkan peningkatan 4.3 peratus dengan jumlah RM862.7 juta (US$180.9 juta) berbanding RM827.3 juta (US$180.9 juta) pada 2023, menjadikan negara kepulauan itu sebagai rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Selatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan