JENAYAH & MAHKAMAH

Peguam Negara Dibenarkan Untuk Rayu Berkaitan Dokumen Tambahan Kes Najib

28/04/2025 11:24 AM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan di sini hari ini membenarkan permohonan Peguam Negara (AG) untuk merayu berkaitan kewujudan satu dokumen tambahan dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dalam keputusan sebulat suara berkata persoalan-persoalan yang dikemukakan oleh AG, telah memenuhi syarat ambang untuk kebenaran diberikan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Mahkamah Persekutuan menetapkan dua hari bermula 1 Julai untuk mendengar rayuan Peguam Negara berhubung dokumen tambahan Najib.

Hasnah bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hanipah Farikullah.

Peguam Negara selaku pemohon, telah memfailkan permohonan kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan. Pemohon perlu mendapatkan kebenaran tersebut bagi meneruskan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 6 Jan, melalui keputusan majoriti 2-1, Mahkamah Rayuan telah mengembalikan kes berkaitan dakwaan Najib mengenai kewujudan dokumen tambahan yang dikatakan membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah, ke Mahkamah Tinggi untuk didengar berdasarkan merit kes.

Keputusan ini membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi terdahulu, yang telah menolak permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berkaitan dokumen tambahan yang didakwa tersebut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan