AM

Belia Terkesan Dadah Digesa Tampil Dapatkan Rawatan Pemulihan - Hannah

28/04/2025 06:31 PM

SEPANG, 28 April (Bernama) -- Golongan belia yang terkesan dengan masalah dadah digesa tampil mendapatkan rawatan pemulihan tanpa rasa takut atau malu, kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Hannah berkata sudah tiba masanya golongan belia membuang stigma berasa malu atau takut untuk mendapatkan bantuan pemulihan dadah terutama daripada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) secara sukarela.

Justeru, Hannah berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memperhebatkan promosi rawatan pemulihan dadah ditawarkan AADK kepada golongan belia.

“Sebenarnya AADK sudah ada perkhidmatan itu, cuma mungkin kerana mereka banyak kes untuk ditangani, ia tidak sampai kepada golongan belia itu.

“Jadi, tanggungjawab ini mesti dipegang bukan sahaja oleh AADK tetapi KBS perlu datang dan bantu AADK. KBS dan KDN perlu bekerjasama dengan rapat kerana ini (belia) adalah kumpulan sasar kita,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja rasmi ke Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Dengkil di sini hari ini.

Hannah berkata promosi lebih padu itu wajar dilakukan kerana di PUSPEN sahaja, 117,000 atau 60 peratus daripada jumlah keseluruhan mereka yang mendapatkan rawatan iaitu 190,000 klien (penghuni) adalah golongan belia.

Beliau berkata rawatan pemulihan itu penting kerana golongan belia adalah aset negara dan mereka wajar diberikan peluang kedua khususnya menjadi tenaga yang lebih produktif dalam sektor pekerjaan.

Dalam pada itu, Hannah berkata beliau sedang mempertimbangkan untuk menggunakan khidmat bekas atlet yang bersara untuk berkongsi kepakaran melatih golongan belia di PUSPEN dalam sukan.

“Kita juga mahu bantu mereka melalui sukan kerana saya yakin dalam golongan belia yang menggunakan dadah pasti ada bakat sukan yang belum kita jumpa lagi.

“Kalau kita berikan mereka latihan di sini (PUSPEN), bukannya setakat dapat latihan atau kemahiran lain tetapi ada platform untuk bersukan,” katanya.

Terdahulu, Hannah meluangkan masa beramah mesra dengan klien PUSPEN serta melawat beberapa kemudahan yang ditawarkan di pusat itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan