JENAYAH & MAHKAMAH

Sebuah Blok Asrama SMK Tinggi Setapak Terbakar

29/04/2025 12:30 AM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Sebuah blok asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Setapak, di sini yang menempatkan kira-kira 91 pelajar lelaki, terbakar dalam kejadian malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian itu  kesemua pelajar dilaporkan selamat kerana berada di surau sekolah menunggu waktu Isyak.

Komander Operasi Bomba TPgB II Japari Tajuddin berkata, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.43 malam sebelum 40 anggota bersama lapan jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kebakaran melibatkan tingkat satu bangunan asrama lelaki sekolah itu dan berjaya dikawal pada 9.40 malam. Ia mengakibatkan kemusnahan sebanyak 80 peratus bahagian asrama berkenaan.

“Bagaimanapun, semua mangsa dilaporkan selamat. Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Forensik JBPM,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Seorang saksi yang tinggal berhampiran sekolah berkenaan, Muzelysham Mustafa, 51, berkata anaknya terdengar penggera kebakaran berbunyi sebelum segera memaklumkan kepadanya mengenai kejadian itu.

Beliau yang arif akan selok-belok kawasan sekolah itu kerana isterinya merupakan bekas guru di situ, segera ke blok asrama terbabit untuk memeriksa sekiranya ada pelajar yang masih berada di dalam bangunan, namun lega apabila mendapati ia kosong.

“Saya dan anak lelaki saya turut cuba menggunakan alat pemadam api yang ada untuk mengawal kebakaran, namun api marak terlalu cepat,” katanya.

Seorang lagi saksi, Muhamad Adha Mikail, 17, berkata beliau sedang mengambil wuduk di surau blok lain sebelum terdengar bunyi kaca pecah dan ternampak api di bangunan asrama yang didiaminya.

“Saya kemudian masuk semula ke dalam surau dan memaklumkan kepada pelajar lain sebelum warden asrama menekan loceng penggera kecemasan,” katanya.

Kesemua pelajar kemudian berlari dari surau ke kawasan selamat iaitu di tapak perhimpunan sekolah berkenaan.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati sebahagian ibu bapa kepada 91 pelajar terbabit mula hadir ke sekolah untuk membawa pulang anak masing-masing sebaik mendapat tahu mengenai kejadian itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan