AM

Kad Nusuk Dilengkapi Kod QR Elak Pemalsuan - Mohd Na’im

29/04/2025 09:16 AM

SEPANG, 29 April (Bernama) -- Kad Nusuk yang telah ditambah baik, kini dilengkapi dengan kod respons pantas (QR) bagi mengelakkan sebarang cubaan pemalsuan terhadap kad pengenalan rasmi jemaah haji, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata Kad Nusuk terbaru ini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat bagi menjamin keselamatan pemegang kad berkenaan.

“Maknanya, kalau ada sebarang usaha untuk buat salinan, ia agak sukar sebab dilengkapi beberapa lapisan keselamatan yang telah ditambah baik oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1446H/2025M di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Abdul Rashid Hussain.

Beliau berkata sejak Kad Nusuk yang berfungsi sebagai dokumen rasmi pengenalan diri jemaah haji diperkenalkan tiga tahun lepas, ia membantu memudahkan jemaah haji dari seluruh dunia untuk memasuki Masjidil Haram di Mekah, Masjid Nabawi di Madinah serta tempat-tempat ibadah haji lain ketika mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

“Kalau katakan jemaah haji Malaysia, dia nak masuk ke Masjid Al-Haram atau Masjid Al-Nabawi, tanpa ada kad ini dia tak boleh masuk. Jadi dia kena bawa Kad Nusuk ini,” katanya.

Terdahulu, Mohd Na’im menitipkan pesanan kepada 284 jemaah haji Malaysia yang berlepas ke Tanah Suci awal pagi ini agar sentiasa menjaga kad berkenaan sebaik mungkin kerana ia memiliki data peribadi termasuk pasport dan visa bagi membolehkan jemaah haji dikenal pasti secara mudah.

“Kad Nusuk ini kena jaga betul-betul sebab ia seperti MyKad kita. Ingat pesanan saya ini jaga kad ini macam kita jaga MyKad kita,” katanya.

Mengenai penerbangan membawa 31,600 jemaah haji ke Tanah Suci musim ini, beliau berkata sebanyak 100 penerbangan sewa khas menerusi syarikat penerbangan AMAL by Malaysia Airlines Bhd dan Saudia Airlines disediakan bermula hari ini manakala penerbangan terakhir pada 1 Jun.

“Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia ini dijangka tiba pada 7.50 pagi esok (waktu Arab Saudi) di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohamad bin Abdulaziz, Madinah,” katanya.

Kuota rasmi haji Malaysia yang diberikan kerajaan Arab Saudi pada tahun ini sebanyak 31,600 orang dan mereka akan tiba di tanah suci secara berperingkat.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan