AM

Larangan Jualan Vape: Pulau Pinang Adakan Mesyuarat Dengan Pihak Berkepentingan Hari Ini

29/04/2025 11:03 AM

GEORGE TOWN, 29 April (Bernama) -- Satu mesyuarat bersama agensi berkepentingan diadakan hari ini bagi membincangkan cadangan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di semua premis perniagaan di Pulau Pinang, sebelum dibentangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri esok.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Daniel Gooi Zi Sen berkata mesyuarat berkenaan bagi mendapatkan pandangan serta cadangan daripada semua pihak berhubung perkara berkenaan.

"Semua dapatan dan cadangan daripada mesyuarat tersebut akan diteliti dan seterusnya saya akan bentangkan di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri esok supaya dapat menimbang secara teliti keseluruhan cadangan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri terbuka untuk mempertimbangkan cadangan melarang penjualan vape di semua premis perniagaan di Pulau Pinang namun tiada perbincangan rasmi diadakan setakat ini.

Gooi berkata mesyuarat itu juga penting bagi mempertimbangkan beberapa perkara sebelum pelaksanaan larangan penjualan alat berkenaan, antaranya mengambil kira jarak Pulau Pinang dengan negara jiran yang masih melaksanakan penjualan vape, sekali gus menyukarkan penguatkuasaan sepenuhnya di negeri itu.

Beberapa negeri telah mengambil langkah lebih awal berhubung larangan penjualan rokok elektronik antaranya Johor, Kelantan dan terkini Terengganu yang akan menguatkuasakan larangan penjualan produk rokok elektronik di semua premis di negeri itu bermula 1 Ogos depan. 

Selain itu, Melaka pula sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan sama di kawasan tertentu manakala Selangor mengkaji pendekatan kawalan ketat menerusi pihak berkuasa tempatan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata kerajaan negeri mempunyai ruang dari sudut undang-undang untuk menguatkuasakan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan