AM

125 Koperasi Di Pahang Tidak Aktif Tahun Lepas - Exco

29/04/2025 12:01 PM

BENTONG, 28 April (Bernama) -- Sebanyak 125 koperasi di negeri ini dikenal pasti tidak aktif pada tahun lepas yang kebanyakannya berpunca akibat pengurusan kewangan tidak tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri Datuk Amizar Abu Adam berkata Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Pahang bagaimanapun sedang berusaha membantu koperasi yang berpotensi untuk diaktifkan semula. 

“Terdapat 30 koperasi yang kita akan nilai semula untuk diaktifkan kembali. Hendak tubuh koperasi bukan senang, takkan nak mansuh dengan mudah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Koperasi Terbaik  Pahang di sini hari ini. 

SKM Pahang merekodkan sebanyak 780 koperasi aktif pada tahun lepas dengan jumlah perolehan lebih RM979 juta. 

Sementara itu, Amizar berkata pihaknya berharap koperasi di negeri ini mampu kembali mencatat perolehan RM1 bilion pada tahun ini selain pihaknya berhasrat untuk memperkasakan koperasi dalam sektor pelancongan. 

Dalam pada itu, Naib Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM Siti Azlin Ahmad Dauta ketika berucap berkata Pahang mempunyai keunikan tersendiri dalam bidang pertanian, ekopelancongan dan kraf tangan.

Beliau berkata sehubungan itu, koperasi boleh menjadi platform terbaik untuk membangunkan industri berkenaan secara lebih sistematik dan berdaya maju pada masa depan. 

Pada majlis berkenaan, Koperasi Serbaguna Daerah Jerantut Berhad meraih tempat pertama kategori Anugerah Koperasi Terbaik 2024 Top 350.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan