PUTRAJAYA, 29 Apri (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata kebebasan badan antirasuah daripada campur tangan semata-mata tidak memadai sekiranya ia tidak mendapat kepercayaan orang ramai.
Beliau berkata pengalaman Malaysia menunjukkan bahawa kebebasan institusi mesti disertakan dengan pemantauan yang kukuh serta akauntabiliti awam.
Azam berkata penerimaan Malaysia terhadap Artikel 36 Konvensyen Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC), yang menyeru penubuhan badan antirasuah yang bebas, adalah berdasarkan kepada Deklarasi Jakarta mengenai Prinsip bagi Badan Antirasuah.
"Di SPRM, kami menerima pakai prinsip-prinsip ini bukan sahaja dari segi bentuk, tetapi juga dari segi pelaksanaan sebenar. Rangka kerja kami yang melibatkan lima jawatankuasa pemantauan bebas memastikan SPRM kekal bertanggungjawab kepada orang awam, sambil mengekalkan kebebasan operasi kami," katanya dalam ucapan pada Persidangan Antirasuah Asia Tenggara: Mengimbas Kembali Kenyataan Jakarta di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Indonesia Setyo Budianto, dan wakil dari Austria, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Singapura, Timor Leste, Mongolia, dan Hong Kong.
Azam Baki turut menyeru kerajaan agar menjamin autonomi institusi, melibatkan masyarakat sivil sebagai rakan kongsi dalam akauntabiliti, serta menggalakkan sektor swasta untuk mengamalkan etika yang tinggi.
"Persidangan ini bukan sekadar latihan akademik semata-mata, sebaliknya merupakan seruan kepada tindakan bersama; supaya kerajaan menjamin autonomi institusi tanpa campur tangan politik; masyarakat sivil menjadi rakan yang berperanan aktif dalam soal akauntabiliti; sektor swasta menegakkan amalan beretika dan menolak rasuah; serta badan serantau membangunkan rangka kerja kukuh untuk kerjasama dan perkongsian ilmu," tegasnya.
Azam menekankan bahawa Kenyataan Jakarta bukan sekadar himpunan idealisme, sebaliknya merupakan pelan tindakan, dan usaha membanteras rasuah perlu diinstitusikan, diprofesionalkan dan dilindungi daripada dipolitikkan bagi memastikan kejayaan yang berpanjangan.
Beliau berkata SPRM komited untuk memajukan reformasi perundangan bagi memperkukuh perlindungan institusi, melaksanakan inisiatif pembangunan kapasiti bagi membekalkan pegawai dengan kemahiran masa depan, serta mempertingkat kerjasama serantau dan antarabangsa untuk membongkar rangkaian rasuah.
Beliau turut berkata SPRM akan mengadaptasi inovasi digital, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan teknologi rantaian blok (blockchain) bagi membongkar jenayah kewangan tersembunyi.
Azam berkata SPRM juga akan terus mengangkat semangat Malaysia MADANI dengan memperkasakan integriti, akauntabiliti dan keadilan sosial sebagai teras kepada tadbir urus negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial