KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas menahan tiga beradik lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM82 juta dalam tiga serbuan di Kajang dan Cheras, dekat sini pada Khamis dan Jumaat lepas.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali berkata dalam serbuan pertama di sebuah rumah tiga tingkat di Taman Nadayu Kajang pada 4.30 petang Khamis, pihaknya menahan tiga warga tempatan yang merupakan dalang sindiket berkenaan.
"Ketika serbuan, ketiga-tiga suspek berusia antara 27 hingga 39 tahun sedang leka membungkus dadah. Pemeriksaan lanjut menemukan 830 bungkusan plastik, 56 guni plastik dan satu besen plastik yang kesemuanya berisi syabu serta pelbagai peralatan membungkus dadah," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Mat Zani berkata soal siasat terhadap ketiga-ketiga lelaki itu membawa kepada serbuan di dua buah kondominium di Cheras pada 1.15 pagi dan 1.50 pagi keesokannya.
Beliau berkata pemeriksaan di kondominium itu berjaya menemukan 95 bungkus dadah jenis ketamin, tiga bungkusan plastik berisi syabu dan 81 bungkus plastik berisi serbuk ekstasi.
"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas ialah 2.165 tan iaitu 1,986 kilogram (kg) syabu, serbuk ekstasi (82 kg) dan ketamin (97 kg) dengan nilai pasaran RM82.14 juta," katanya.
Mat Zani berkata pihaknya turut membuat tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dan menyita empat buah kereta milik suspek bernilai RM95,000.
"Semua suspek direman selama tujuh hari hingga 1 Mei ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya," katanya.
Beliau berkata ia merupakan rampasan pertama dadah yang diperoleh dari negara Amerika Latin yang dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan sebelum dijual semula ke pasaran Korea Selatan dan Jepun.
"Berdasarkan maklumat awal, syabu itu dijual RM400,000 sekilogram di sana (Korea Selatan dan Jepun), lebih mahal berbanding pasaran tempatan," katanya.
Mat Zani berkata siasatan awal pihaknya mendapati sindiket itu membawa masuk dadah berkenaan melalui jalan laut dengan mengisytiharkannya sebagai bahan mentah produk plastik.
"Polis sedang menyiasat hubung kait antara sindiket berkenaan yang mula aktif sejak tahun ini dengan sindiket dadah di Amerika Latin. Kami percaya masih terdapat ahli sindiket ini yang masih bebas," katanya.
Beliau berkata pihaknya juga sedang berhubung dengan agensi penguatkuasaan dadah luar negara antaranya Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA) bagi membantu siasatan kes berkenaan.
"Polis percaya ini merupakan cubaan sindiket dadah dari Amerika Selatan untuk menjual dadah mereka di sini dan menjadikan Malaysia sebagai transit ke negara ketiga," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial