AM

Kes HFMD Di Johor Meningkat 20 Peratus Pada ME Ke-17

29/04/2025 07:03 PM

JOHOR BAHRU, 29 April (Bernama) -- Pusat penjagaan kanak-kanak di Johor diminta meningkatkan langkah berjaga-jaga berikutan peningkatan kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulit (HFMD) sebanyak 20.5 peratus, pada minggu epidemiologi (ME) ke-17 berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata kes HFMD pada ME ke-17 ialah 1,441 kes berbanding 1,196 kes pada ME ke-16, dengan daerah Johor Bahru yang tertinggi iaitu 386 kes.

Beliau berkata ini diikuti dengan Batu Pahat 254 kes, Kluang (192 kes), Kota Tinggi (140 kes), Tangkak (134 kes), Muar (128 kes), Pontian (94 kes), Segamat (47 kes), Mersing (37 kes) dan Kulai (29 kes).

“Di Johor kebanyakan kes HFMD ini berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia antara 0-6 tahun dengan kumulatifnya mencatat 8,085 kes, diikuti dengan kumpulan kanak-kanak yang berusia antara 7-12 tahun dengan 1,512 kes.

“Terdapat 74 kluster direkodkan sehingga kini iaitu melibatkan 24 kes di tabika, 19 kes di prasekolah, 17 di taska, 12 di tadika, dan masing-masing satu kes di sekolah rendah dan rumah persendirian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ling berkata berikutan trend peningkatan kes HFMD di negeri berkenaan, dua surat alert telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), sebagai tindakan kawalan dan pencegahan.

Beliau berkata surat itu telah dikeluarkan kepada semua pengarah hospital dan pegawai kesihatan daerah, serta satu lagi surat dikeluarkan kepada Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Pengarah KEMAS Negeri Johor juga kepada Pengarah Jabatan Perpaduan dan Intergrasi Nasional (JPNIN) Negeri Johor.

“Kedua-dua surat berkenaan dikeluarkan bertujuan untuk membantu dalam mengurangkan risiko jangkitan dan penularan ke HFMD di fasiliti masing-masing.

“Bagi fasiliti pusat jagaan kanak-kanak ini, pengurus dinasihatkan dapat mengukuhkan aktiviti saringan, kanak-kanak atau pelajar bergejala diasingkan serta dibenarkan pulang, selain melaporkan sebarang kes yang berlaku kepada pejabat kesihatan terdekat dengan segera,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan