AM

Pegawai Terlibat Kesilapan Jalur Gemilang Dalam Laporan SPM Telah Dikenal Pasti - KSN

29/04/2025 07:41 PM

PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Kerajaan telah mengenal pasti pegawai yang terlibat dalam kesilapan memaparkan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau berkata siasatan terhadap kes berkenaan sedang dijalankan dan tindakan akan diambil mengikut prosedur Lembaga Disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kesemua yang terlibat itu telah pun dikenal pasti, yang mana ada dua kumpulan iaitu atas dan di bawah Gred 48 (Gred 12).

“Pegawai di bawah Gred 48 akan dikendalikan Kementerian Pendidikan dan gred atas 48 akan diambil tindakan oleh JPA,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Persidangan Anti Rasuah Asia Tenggara, di sini hari ini.

Shamsul Azri berkata tindakan yang akan diambil berdasarkan peraturan di bawah Perintah Am dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Terdahulu Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata siasatan dalaman berhubung kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan SPM masih dijalankan.

Beliau memohon kerjasama semua pihak memberikan ruang sementara siasatan tersebut berlangsung.

Terdahulu, beberapa keping imej yang dijana kecerdasan buatan (AI) dipapar dalam muka surat 14 dan 15 dalam laporan analisis itu, menunjukkan Jalur Gemilang  yang silap.

Susulan itu, Kementerian Pendidikan (KPM) turut memohon maaf atas kesilapan itu dan mengarahkan laporan analisis yang dicetak, dikembalikan semula dan pembetulan segera sedang dilakukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan