SUKAN

Jazeman Buat Penampilan Sulung Dalam Siri Perlumbaan Super GT

29/04/2025 07:56 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Bintang sukan permotoran negara Jazeman Jaafar akan membuat penampilan sulung dalam siri perlumbaan SUPER GT di Litar Antarabangsa Sepang, Selangor pada 26 hingga 28 Jun.

Jazeman menerusi kenyataan hari ini berkata beliau akan bergandingan dengan pemandu sedang meningkat naik dari China Kerong Li, di bawah pasukan Earl Bamber Motorsport (EBM).

Mereka akan mengemudi jentera Aston Martin Vantage GT3 EVO, yang menandakan penyertaaan penting dan mendebarkan EBM dalam pertandingan kelas GT300 yang sangat kompetitif.

“Cabaran terbesar adalah untuk memahami karakter tayar. Dalam SUPER GT, peraturan tayar adalah terbuka. Jadi mempunyai Michelin bersama, memberikan kami pakej yang kuat.

“Saya pernah memandu Aston Martin Vantage sebelum ini, namun tidak dengan kit EVO dikemas kini. Saya difahamkan aerodinamik telah menyaksikan penambahbaikan ketara dan kami bersedia untuk menyahut cabaran di tempat sendiri dan mengibarkan bendera Malaysia dengan bangga,” katanya.

Jazeman, seorang daripada pelumba Malaysia terkemuka di arena antarabangsa, memiliki resume mengagumkan termasuk pengalaman dalam Sukan Permotoran Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), 24 Hours of Le Mans dan GT World Challenge selain pernah berkhidmat sebagai pemandu pembangunan untuk pasukan Formula 1 Mercedes-AMG Petronas.

SUPER GT kembali ke Malaysia selepas 12 tahun dengan perlumbaan dijangka menarik 162 juta penonton termasuk secara dalam talian dari seluruh dunia. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan