DUNIA

Kolaborasi Thailand, Malaysia Gempur Sindiket Dadah Rentas Sempadan

29/04/2025 09:02 PM

Oleh Kenny Teng Khoon Hock

BANGKOK, 29 April (Bernama) -- Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Thailand (ONCB) berjaya menggempur rangkaian dadah rentas sempadan Thailand-Malaysia susulan penahanan dua suspek warga Thailand dan rampasan 261 kilogram syabu di wilayah Songkhla, selatan Thailand.

Pengarah Penguatkuasaan Undang-Undang Narkotik ONCB, Prin Mekanandha berkata operasi yang dijalankan pada 24 April itu adalah hasil kerjasama antara agensi Thailand dan antarabangsa bagi membanteras rangkaian penyeludupan dadah yang beroperasi antara selatan Thailand dan Malaysia.

Dalam sidang media pada Selasa, Prin berkata pihak berkuasa memantau aktiviti rangkaian itu selama lebih sebulan dengan kerjasama rapat pihak berkuasa Malaysia.

Siasatan awal mendapati rangkaian berkenaan menggunakan wilayah Songkhla sebagai pusat penyimpanan sementara sebelum dadah itu dihantar ke Narathiwat di selatan Thailand dan seterusnya diseludup ke Malaysia untuk diedarkan ke negara lain.

Dadah itu dipercayai berasal dari Segi Tiga Emas.

“Dalam soal siasat, suspek mengaku menerima upah untuk membawa dadah itu bagi penghantaran ke negara ketiga. Mereka juga mengaku pernah membawa sejuta pil syabu merentasi sempadan Malaysia dan menerima bayaran sebanyak 120,000 baht bagi tugasan itu,” katanya.

“Pihak berkuasa percaya mereka mengenal pasti individu penting dalam rangkaian berkenaan. Siasatan masih diteruskan dan langkah seterusnya ialah menyita aset yang berkaitan bagi membongkar keseluruhan operasi penyeludupan dadah ini.

“Data telefon menunjukkan dadah itu pada mulanya dibawa ke tengah Thailand sebelum dihantar ke selatan. Kebanyakan pil syabu digunakan untuk pasaran tempatan, manakala syabu lazimnya dieksport ke negara seperti Australia, Jepun dan New Zealand,” jelasnya.

Beliau menegaskan komitmen Thailand untuk bekerjasama dengan polis Malaysia bagi memperluas siasatan, mengenal pasti pembeli dan mengambil tindakan undang-undang termasuk menyita aset yang berkaitan di Malaysia.

Prin turut merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia atas kerjasama yang disifatkan sebagai faktor utama kejayaan penahanan kedua-dua suspek.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan