PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Agensi antirasuah dan pertubuhan berkaitan di seluruh Asia Tenggara hari ini menerima pakai Deklarasi Putrajaya Agensi Antirasuah Asia Tenggara, mengukuhkan komitmen bersama untuk memerangi rasuah dan mempromosikan tadbir urus yang baik, pembangunan mampan dan kesejahteraan masyarakat.
Deklarasi yang diperakui oleh lapan negara itu dikeluarkan selepas pertemuan di sini yang menekankan dedikasi bersama agensi-agensi berkenaan terhadap prinsip-prinsip yang termaktub dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Rasuah (UNCAC), khususnya Artikel 6 dan 36 yang menekankan penubuhan badan antirasuah yang bebas dan autonomi dengan sumber mencukupi.
Lapan negara berkenaan adalah Malaysia, Indonesia, Brunei, Laos, Myanmar, Singapura, Timor-Leste dan Kemboja.
Deklarasi berkenaan dibacakan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Ketua Pesuruhjaya Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Setyo Budianto.
Deklarasi berkenaan mengakui Penyata Jakarta mengenai Prinsip-prinsip untuk Agensi Antirasuah sebagai dokumen panduan untuk memastikan keberkesanan dan keadilan badan-badan itu.
Agensi-agensi berkenaan seterusnya menekankan kepentingan kebebasan dalam memastikan akauntabiliti, ketelusan dan pematuhan kepada undang-undang.
Organisasi terlibat juga mengakui bahawa membangun dan mengekalkan institusi antirasuah berkesan adalah tugas kompleks yang memerlukan usaha berterusan, kerjasama dan komitmen yang kukuh. Mereka turut menekankan peranan penting pelaku bukan negara -- termasuk masyarakat sivil, sektor swasta, media dan ahli akademik -- dalam menyokong perjuangan melawan rasuah.
Dalam deklarasi itu, agensi-agensi berkenaan menyatakan sokongan padu terhadap penubuhan dan pengukuhan agensi antirasuah yang bebas di semua bidang kuasa dengan mengiktirafnya sebagai penting dalam mencegah dan menangani rasuah dengan berkesan.
Mereka berikrar untuk mengambil tindakan kolektif untuk membina dan mengekalkan institusi-institusi itu, komited untuk bekerjasama, berkongsi pengalaman dan saling memberikan sokongan dalam mengatasi cabaran yang berkaitan. Agensi-agensi berkenaan juga menyambut baik penyertaan pihak berkepentingan lain dalam usaha ini.
Deklarasi berkenaan menggariskan kepentingan perkongsian maklumat sebagai komponen utama dalam tugas antirasuah. Agensi-agensi berkenaan komited untuk mempertingkatkan kerjasama dalam pertukaran maklumat, termasuk dengan sektor swasta, sambil menghormati rangka kerja undang-undang masing-masing, bagi memudahkan siasatan dan pendakwaan yang berkesan.
Mereka juga bersetuju untuk berkongsi amalan terbaik dalam pembangunan dan operasi badan antirasuah termasuk teknik penyiasatan, strategi pencegahan, mekanisme pemulihan aset dan langkah-langkah untuk menegakkan ketelusan dan akauntabiliti.
Penandatangan turut berikrar untuk memupuk budaya integriti melalui advokasi, penglibatan dan dialog konstruktif, bekerja dalam perkongsian dengan kerajaan, badan antarabangsa, masyarakat sivil, sektor swasta, media dan ahli akademik.
Deklarasi itu menggalakkan penyelidikan berterusan dan pendidikan mengenai antirasuah oleh organisasi nasional dan antarabangsa.
Agensi-agensi berkenaan mengalu-alukan metodologi untuk mengukur keberkesanan badan antirasuah termasuk yang dibangunkan oleh Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) dengan kerjasama Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC) dan rakan kongsi lain.
Semua agensi dijemput untuk mengambil bahagian dalam inisiatif penyelidikan dan pendidikan bekenaan untuk memperkukuh keberkesanan mereka.
Sewaktu penutup, para peserta mengesahkan komitmen mereka untuk mempromosikan pelaksanaan UNCAC dan prinsip-prinsip yang digariskan dalam Penyata Jakarta dan Colombo Commentary di dalam bidang kuasa masing-masing dan di seluruh rantau ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial