AM

Negeri Sembilan Fast Lane Berpotensi Percepat Proses Pemajuan Industri

30/04/2025 08:55 PM

SEREMBAN, 30 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan komited mempercepatkan kelulusan projek industri pembuatan termasuk semikonduktor yang memberi nilai tambah kepada ekonomi negeri menerusi pelaksanaan Negeri Sembilan Fast Lane.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Teo Kok Seong berkata Negeri Sembilan Fast Lane adalah proses pemajuan yang dilaksanakan secara pantas sebelum kelulusan pelan bermula hingga bangunan siap di tapak, seterusnya kebenaran beroperasi dalam masa singkat.

“Ia perlu melalui gabungan proses kelulusan pelan, sijil perakuan siap serta pematuhan dan lesen pengoperasian. Gerak kerja awalan dimulakan di bawah Majlis Bandaraya Seremban.

“Kriterianya ialah kawasan terancang, perihal tanah telah selesai, kesediaan tapak untuk mendirikan bangunan, lengkap infrastruktur dan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar, Penilaian Kesan Trafik dan Audit Keselamatan Jalan Raya yang diluluskan,” katanya.

Teo (PH-Bahau) berkata demikian ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau menjelaskan bagi kategori projek pula adalah kilang, bengkel, gudang, kemudahan swasta (sekolah dan hospital) dan stesen minyak.

Dalam pada itu, Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun ketika mengulas mengenai projek pelabuhan pintar di Port Dickson berkata pemberian tanah bagi pembinaan jeti pelabuhan itu telah diluluskan pada 19 Mac lepas dan keseluruhannya melibatkan tanah dasar laut.

“Sehubungan itu, kawasan diluluskan itu perlu diwartakan, pada masa ini sijil pembebasan upah ukur telah diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Galian negeri. Pejabat Daerah Tanah Port Dickson dalam tindakan mengemukakan permintaan ukur kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia sebelum surat kelulusan dikeluarkan,” kata ADUN Sikamat itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S.Veerapan berkata Program Jualan Rahmah MADANI merekodkan hasil jualan lebih RM35 juta, yang memanfaatkan lebih 713,000 penduduk di negeri itu. 

Veerapan (PH-Repah) berkata sehingga 29 April lepas, 466 program jualan Rahmah MADANI dijalankan di 36 DUN di negeri ini melibatkan jualan murah barangan keperluan harian sehingga 30 peratus.

Persidangan DUN ditangguhkan kepada suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. 

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan