DUNIA

PRU2025 Singapura: PAP Akan Terus Berusaha Dapatkan Keyakinan Rakyat

30/04/2025 11:59 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 30 April (Bernama) -- Parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan terus bekerja keras dan secara jujur untuk mendapatkan kepercayaan rakyat Singapura, kata Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen yang baru-baru ini mengumumkan persaraannya menjelang Pilihan Raya Umum (PRU2025) negara itu.

Berucap pada ceramah PAP bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Bishan–Toa Payoh pada Rabu malam, Dr Ng berkata kepercayaan telah menjadi asas kepada kejayaan parti itu membina sebuah negara yang selamat dan berdaya tahan sejak merdeka.

Beliau berkata PAP, yang telah memerintah Singapura sejak kemerdekaan telah berjaya membangunkan sebuah negara yang mampu mempertahankan kepentingannya, melindungi rakyat, serta membina sekolah, hospital dan hab pengangkutan bertaraf dunia.

“Kita tidak akan berada di tahap ini sekiranya Kerajaan PAP tidak berjaya meraih kepercayaan rakyat Singapura selama 60 tahun ini. Kerajaan PAP akan – dan mesti – terus bekerja keras dan secara jujur untuk mendapat kepercayaan anda,” katanya.

Beliau menyeru pengundi memilih pasukan yang mereka percayai apabila keluar mengundi pada Sabtu ini, sambil memberi amaran bahawa kepercayaan pada tempat yang salah boleh membawa kepada “putus harapan dan seksaan jiwa”.

Dr Ng berkata kepercayaan bukan dibina melalui janji, tetapi perlu diperoleh terutamanya ketika waktu-waktu mencabar.

“Jika anda buat pilihan yang tepat, individu atau parti yang anda undi akan terus bersama anda, membantu ketika kesusahan dan meraikan kejayaan anda,” katanya.

Dr Ng, yang menjadi Ahli Parlimen GRC Bishan–Toa Payoh sejak 2001, turut merakamkan penghargaan kepada para pengundi atas sokongan mereka selama 24 tahun dan menggesa mereka menyokong pasukan PAP yang bertanding di kawasan itu, diketuai Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat.

Chee, 51, berkata beliau berharap dapat terus berkhidmat di kawasan itu – yang diwakilinya sejak 2015 – sehingga persaraannya.

Beliau berjanji untuk memperhebatkan usaha membantu penduduk, termasuk memasang lebih banyak lif bagi warga emas, menambah baik kawasan kediaman serta memperluas rangkaian pengangkutan.

Chee turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaan PAP untuk memimpin negara mengharungi cabaran semasa seperti yang telah dilakukan sebelum ini.

“Ini bukan krisis pertama yang kita hadapi sebagai sebuah negara. Dan dengan sokongan anda, kita boleh mengatasinya sekali lagi. Kita ada pengalaman, kita ada pengetahuan untuk merintis hala tuju ke hadapan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan